Sukan Hari Ini

STL medium lahir ramai jaguh

RAJA Sepak Takraw Asia, Adnan Saidin percaya Kejohanan Liga Sepak Takraw Malaysia 2014 (STL) solusi tepat melahirkan lebih ramai jaguh libas di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, seterusnya mengembalikan imej Malaysia sebagai negara kuasa besar sepak takraw.

Legenda sepak takraw tanah air itu yang terkenal dengan libasan mautnya sekitar tahun 70 dan 80-an, menyifatkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini berada di landasan tepat untuk mencapai hasrat tersebut menerusi pelaksanaan liga yang sudah lama didambakan peminat dan dalam masa sama menggesa agar penekanan terhadap pembangunan akar umbi tidak diabaikan.

“Inilah apa yang kita semua mahukan sejak sekian lama, mahu PSM turun padang, lebih serius fokus pembangunan akar umbi, wujudkan liga, letakkan pemantau, kesan bakat-bakat seawal usia kanak-kanak, beri pendedahan, secara keseluruhan ia usaha yang cukup baik.

“Jika liga atau program seperti ini diteruskan, jangan kata seorang raja takraw, tetapi Malaysia dapat melahirkan lebih ramai raja takraw baik di peringkat serantau mahupun Asia. Kita juga boleh kembali mendominasi pentas Sukan Sea dan juga Sukan Asia,” katanya.

Latar belakang

Adnan turut menjelaskan, walaupun kejohanan memasuki pusingan keempat, bintang baharu yang bakal mewarnai sukan warisan mula kelihatan.

“Pemain yang beraksi di sini datangnya dari pelbagai latar belakang. Ada pemain dan bekas pemain kebangsaan, ada pemain negeri, pemain pelapis dan ada yang datang main sekadar untuk suka-suka. Sama ada mereka ada kualiti atau tidak, itu tak penting, tetapi mereka menyahut cabaran untuk memeriahkan dan menyemarakkan semula arena takraw tanah air.

“Selepas tiga pusingan, kita dapat lihat hasil yang baik. Kita sudah ada lebih 100 pemain dalam senarai pendek. Ramai bakat yang menyerlah, saya sendiri tertarik melihat beberapa pemain yang pada saya, berpeluang melangkah lebih jauh sekiranya digilap dan diberi pendedahan yang lebih lagi,” katanya.

Rasa cemburu

Bagi Zabidi yang menganggotai skuad kebangsaan dari 1992 hingga 2002 dan beraksi di tiga temasya Sukan Asia, Liga Sepak Takraw Malaysia adalah langkah permulaan mewujudkan sebuah liga sepak takraw profesional dan usaha itu tidak akan menjadi kenyataan seandainya semua pihak tidak bersatu.

“Saya cemburu dengan pemain hari ini. Zaman saya main takraw dulu, kami hanya berlatih dan terus masuk bertanding. Waktu bertanding itulah baru kami mendapat pendedahan. Pemain terlalu menginginkan satu liga untuk terus kekal kompetitif. Liga seumpama ini sepatutnya sudah lama ada, tetapi lebih baik lewat daripada langsung tiada.

“Bukan sahaja PSM perlu ambil langkah, tetapi semua pihak. Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Negeri, semua pihak perlu duduk berbincang bagaimana mahu menyatukan semua program menjadi satu dan tersusun. Kita mahu menuju ke arah profesional dan ini satu permulaan yang cukup baik,” katanya.

Hala tuju

Menurut Zabidi yang juga jurulatih pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Kedah, acara sampingan dapat menarik minat lebih ramai peminat untuk bermain dan memberikan sokongan.

“Jika dulu, kanak-kanak yang bermain takraw tidak tahu apa hala tuju dia, sekarang mereka ada sasaran iaitu menjadi seorang pemain profesional.” katanya.

STL yang bermatlamat untuk membawa revolusi kepada arena takraw tempatan, sudah membuka tirainya di Terengganu pada 13 November lalu dengan berlangsungnya pusingan pertama dan kedua. Pusingan ketiga dan keempat berlangsung di Kedah, disusuli dengan dua pusingan, masing-masing di Johor dan Melaka, sebelum grand final berlangsung pada Januari depan.-sinar harian
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");