Isu Panas

Stok ubat perlu ditambah sebelum musim tengkujuh – Puteri UMNO

Kerajaan disaran mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika banjir yang melibatkan aspek pengurusan bantuan perubatan dan rawatan kesihatan.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kajian itu juga perlu mengambil kira kaedah yang lebih sistematik dirangka sebagai persediaan menghadapi banjir di luar jangkaan.

Beliau turut mencadangkan semua klinik dan pusat kesihatan seluruh negara yang terletak di kawasan mudah dinaiki air perlu menambah bekalan ubat berkemungkinan dua kali ganda berbanding sebelum musim tengkujuh.

“Stok bekalan ubat-ubatan juga perlu mengambil kira penyakit bawaan air yang mungkin dihadapi oleh mangsa banjir dan dipastikan mencukupi,” katanya dalam kenyataan, selepas lawatan banjir bersama anggota Puteri UMNO di Kuala Krai, Kelantan Ahad.

Beliau berkata setiap klinik harus membuat persediaan dari segi logistik dan kemudahan lain termasuk memastikan generator berfungsi sekiranya bekalan elektrik terpaksa dipotong.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu memberitahu sebanyak 500 anggota Skuad Sukarelawan Puteri UMNO dihantar bagi membantu mangsa banjir di Pahang, Kelantan dan Terengganu yang terjejas dengan bencana itu.

Menurut Mas Ermieyati, anggota sukarelawan berkenaan akan memberi tumpuan kepada bantuan dari segi membersihkan kediaman mangsa selepas banjir.

“Ketika banjir, banyak pihak yang turun padang memberi bantuan tetapi apabila banjir surut tiada pihak membantu membersihkan kawasan kediaman mereka. Jadi kami mengambil inisiatif ini untuk meringankan sedikit beban mereka,” katanya.

Ada anggota Puteri Umno yang berada di kawasan terlibat banjir bagi memberi bantuan makanan serta mengumpul pakaian terpakai untuk mangsa banjir.

Beliau berkata, pihaknya juga telah berbincang dengan beberapa syarikat korporat untuk mendapatkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa bencana alam itu.-29/12/2014-agendadaily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");