Sukan Hari Ini

Subahan jana idea Selangor

Kuala Lumpur: Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal dilantik sebagai pengurus skuad Gergasi Merah menghadapi musim baru Liga M 2015.

Subahan akan bergandingan bersama ketua jurulatih Mehmet Durakovic bagi melonjak kembali kegemilangan pasukan.

“Pelantikan Subahan dipersetujui Presiden FAS Mohamed Azmin Ali selepas mendapati beliau adalah calon paling layak menggalas tugas berkenaan,” kata Setiausaha Agung FAS Mohd Rosman Ibrahim.

Subahan, 49, bukan nama asing dalam arena bola sepak Selangor apabila pernah menjadi penolong pengurus pasukan pada 2005 hingga 2008.

Kali terakhir Selangor meraih tiga piala – juara Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005.

Malah, Subahan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah pengurus skuad negara yang mencipta sejarah menjulang Piala AFF 2010 buat kali pertama dan penolong pengurus skuad Sukan SEA 2009 yang menamatkan penantian 20 tahun pingat emas.

“Kami berharap dengan pengalaman luas dimilikinya mampu membantu Selangor mengharungi musim depan lebih baik.

“Beliau pastinya sudah ‘masak’ dalam aspek pengurusan membabitkan jurulatih, staf kejurulatihan dan pemain,” tambahnya.

Pelantikan Subahan memberikan nafas baru kepada Selangor yang ketandusan kejuaraan dengan kali terakhir bergelar juara pada 2010 apabila mengungguli Liga Super.

Selangor kehilangan tiga pemain utama dengan penjaring terbanyak Liga Super Paulo Rangel membuat keputusan berhijrah ke Terengganu selain Mohd Farizal Marlias dan S Kunanlan menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");