Sukan Hari Ini

Sukar digugat!

Marrakech, Maghribi: Real Madrid menewaskan kelab Argentina, San Lorenzo 2-0 untuk meraih kejuaraan Piala Kelab Dunia buat kali pertama dan menjulang trofi keempat tahun ini.

Kelab gergasi Sepanyol itu mendominasi sepenuhnya aksi final dengan Sergio Ramos yang diragui dapat beraksi akibat kecederaan hamstring dan Gareth Bale menyumbang gol.

Kejayaan itu membolehkan Real menambah trofi pada penamat kempen tahun ini selepas memenangi Liga Juara-Juara, Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Eropah yang dirangkul tahun ini. Mereka juga cemerlang tahun ini dengan menduduki tangga teratas La Liga.

Kemenangan kelmarin melebarkan rekod 22 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan dan mereka kini memburu rekod 26 kemenangan yang dilakukan skuad kendalian Johan Cruyff, Ajax pada 1971-72.

“Kami berhak memenangi gelaran ini. Kami boleh menyatakan Real pasukan terbaik di dunia,” kata jurulatih Real Carlo Ancelotti.

“Kami mempamerkan prestasi cemerlang tahun ini, ia pasti tidak akan dilupakan. Kami mempunyai semangat berpasukan dan kekeluargaan.”

Real juga turut pasti akan menamatkan saingan La Liga tahun ini sebagai pendahulu dan Ancelotti sudah mula membayangkan pencapaian sama pada 2015.

“Kami pasti gembira jika dapat mengulanginya. Kami akan meneruskan kecemerlangan seperti ini dalam semua kejohanan dan mengharungi tahun baru dengan penuh semangat.”

Sementara itu Bale menerusi status di Twitter berkata: “Ini hadiah Krismas paling hebat, Kejuaraan Kelab Dunia FIFA 2014!! #HalaMadrid.”

Ramos membuka tirai jaringan selepas 37 minit apabila bola tandukannya, susulan sepakan sudut Toni Kroos menewaskan penjaga gol Sebastian Torricco sebelum Bale menambah gol kedua pada minit ke-51. – AFP

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");