Membawang Hari Ini

Teater Takhta 3 Ratu menyentuh jiwa

HEBAT! Beigtulah yang dapat penulis simpulkan mengenai teater yang mengisahkan percintaan antara tiga wanita Galuh Cenderai, Li Po dan Lela Wangsa merebut hati sang suami, Sultan Mansur, yang penuh dengan tragedi.

Dek kerana perasaan dengki dan tamak, nyawa menjadi galang ganti. Pementasan penuh aksi dan romantis menerusi Takhta 3 Ratu pastinya menjanjikan persembahan di luar jangkaan.

Dijayakan oleh tiga pelakon, Erra Fazira, Izreen Azminda dan pendatang baharu, Mei Fen (yang menggantikan Soo Winci), pementasan selama hampir tiga jam di Panggung Sari, Istana Budaya ini turut menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Awie yang tanggungjawab menggalas watak Laksamana Hang Tuah (Awie), Beto Khusyairi (Hang Jebat) dan Azri Iskandar (Sultan Mansur).

Selain itu, ia turut menampilkan Remy Ishak (Megat Panji Alam), Ellie Suriaty (Mbok Kuriang), Tasha Shilla (Sekar) dan Michael Ang (Gui Ying).

Pementasan ini juga buat julung kalinya menyaksikan tiga produksi iaitu Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. (milik Erma Fatima), Erra Fazira Entertainment Sdn. Bhd dan Awie Entertainment Sdn. Bhd bergabung untuk menjayakan pementasan epik ini bermula sejak 13 Disember lalu, dan akan dipentaskan sehingga 22 Disember ini.

Selepas diangkat ke pentas teater, naskhah ini juga akan diterbitkan menerusi versi drama yang akan disiarkan awal Januari depan.

Takhta 3 Ratu merupakan kisah cinta epik fiksyen yang mengangkat tiga srikandi legenda zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Tun Teja, Raden Galuh Chenderai dan Hang Li Po, isteri kepada Sultan Mansur Shah.

Kisah tiga wanita berhati waja ini, dimulakan dengan kisah Puteri Majapahit, Galuh Cenderai yang kesepian akibat sering ditinggalkan suaminya telah jatuh hati terhadap Laksamana Hang Tuah.

Namun begitu, Tuah menolak cinta tersebut dan berikrar taat setianya hanya kepada pemerintah Melaka. Kekecewaan Galuh semakin parah kerana suaminya memperisterikan puteri dari China apatah lagi Hang Li Po mengandung anak pertama Sultan Mansur.

Kedua-dua hubungan permaisuri ini semakin dingin dan berlumba-lumba untuk mendapatkan perhatian suami mereka.

Dalam persengketaan Galuh dan Li Po, kedua mereka terkejut apabila Sultan Mansur menikahi Lela Wangsa, puteri kepada Maharaja Dewa Sura, pemerintah Inderapura yang cuba menyerang Melaka.

Selepas menyaksikan pementasan ini, penonton seolah-olah dibawa ke dimensi berbeza dan turut berada pada zaman pemerintah Sultan Melaka itu.

Biarpun ada kalanya berhadapan dengan masalah teknikal, namun begitu pelakon bersikap profesional dan meneruskan lakonan mereka secara ‘natural’.

Babak paling mendebarkan penonton apabila Hang Tuah (Awie) berlawan dengan Megat Panji Alam (Remy) untuk merebut semula hati Lela Wangsa (Erra) kerana persilatan mereka penuh aksi dan tampak hidup.

Menariknya mengenai pementasan ini, selain plot penceritaan yang tersusun, Erma turut memaparkan bahawa perkahwinan yang berlaku pada ketika itu sebagai salah satu usaha untuk meluaskan empayar.

Selain itu, props dan perhiasan pentas yang superb serta kostum para pelakon menghidupkan lagi suasana zaman kesultanan Melayu dahulu.

Sempat menyelitkan sebuah lagu, Berkorban Apa Saja gandingan Awie dan Erra, penulis dapat rasakan ia bukan sekadar sebuah fiksyen kosong tetapi penonton boleh melihat pementasan ini daripada pelbagai sudut positif yang mana pengajaran yang disampaikan punyai persamaan dengan keadaan semasa.

Secara keseluruhannya, apa yang boleh penulis simpulkan, teater ini berjaya menyentuh jiwa sesiapa sahaja yang menonton dengan perjalanan yang cukup tragik membabitkan cinta, kuasa dan pengorbanan tiga wanita dalam merebut sebuah hati sang pujangga.

Umum sedia maklum mengenai pemergian ibu Awie, beberapa hari sebelum pementasan berlangsung.

Namun pujian harus dilayangkan kepada pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman ini, apabila tampil dengan lakonan yang cukup berkesan sebagai Hang Tuah.

Bahkan Awie yang turut menitiskan air mata, telah membuatkan perasaan penonton tersentuh ketika menjayakan satu babak bersama Erra.

Ditemui ketika sesi bersama media, Awie yang kelihatan tenang menjawab segala soalan daripada wartawan, mengakui kehilangan arwah ibunya turut mempengaruhi dalam permainan emosi ketika itu.

Sebagai manusia biasa, Awie berkata dia tidak pernah lari daripada emosi, namun bersikap profesional kerana tidak mahu rakan-rakan lain turut terkena tempias.

“Saya cuba sedaya upaya untuk sembunyikan kesedihan dan menahan segala emosi yang ditanggung sehingga ke hari pementasan terakhir.

“Sebelum ini, penghayatan saya ditegur Erma kerana watak Tuah memerlukan saya menangis, namun saya tidak dapat melakukannya.

“Tapi berbeza dengan malam ini (Isnin), saya terlebih pula emosi sehingga dapat menjayakan babak itu,” katanya.

Belajar bahasa Jawa demi Galuh

Sementara itu, aktres cantik Izreen Azminda yang memegang watak Puteri Majapahit itu dikritik oleh peminatnya apabila tampil ‘berkemban’ di atas pentas.

Bahkan isu tersebut pernah dibangkitkan kepada Erma selaku pengarah teater ini, namun Izreen meminta isu terbabit tidak terus diperkatakan.

“Kenapa perlu mempertikaikan isu berkemban. Lagipun watak Galuh sememangnya begitu dan kami visual cara pemakaian orang Jawa sebegitu.

“Jika tidak mengikut adat orang Jawa, ia tidak logik bagi saya. Namun segala kritikan dan teguran itu saya terima dengan hati terbuka,” ujarnya.

Bagi Izreen, selain cabaran ‘berkemban’ dia juga turut berhadapan dengan dialog Jawa yang agak sukar untuk dilontarkan atas pentas.

“Bayangkan saya orang Kedah dan sangat pekat dengan dialek negeri terpaksa bercakap dalam bahasa Jawa.

“Bunyinya agak pelik tapi saya cuba sedaya upaya. Mulanya risau jika pelakon lain tidak faham dengan percakapan saya sebab tidak fasih bahasa Jawa,” ujarnya ketawa.

Mei Fen curi tumpuan

Manakala pendatang baharu dunia seni yang menggantikan watak Soo Winci (Li Po) buat sementara waktu ternyata mencuri perhatian penonton dengan lontaran dialog yang bagus.

Berjaya menghayati wataknya itu dengan baik seolah-olah tiada masalah dari luaran, Mei Fen sebenarnya tidak fasih berbahasa Melayu. Dia dilihat begitu menjiwai watak sehingga membangkitkan kemarahan penonton.

Hampir 10 tahun tidak menuturkan bahasa Kebangsaan itu, dia mengakui perkara tersebut merupakan cabaran terbesar buatnya.

“Buat kali pertama saya perlu berlakon menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam pementasan ini.

“Saya agak terkejut mulanya ditawarkan watak Li Po. Ibarat mimpi menjadi kenyataan, sudah lama saya impikan untuk beraksi di pentas besar ini,” katanya.

Menurut Mei, penglibatannya dalam teater sudah agak lama namun semua lakonannya hanya dapat ditonton di Amerika Syarikat.

Katanya, walaupun hanya terlibat dalam tiga hari sahaja, namun dia tetap berusaha untuk membuatkan yang terbaik.

“Agak sukar untuk bagi saya untuk melakukannya, namun skrip yang diberi oleh Kak Erma saya hafal semuanya.

“Saya juga berusaha lebih daripada biasa, tiga kali ganda berbanding sebelum ini,” ujarnya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");