Berita Hari Ini

Tiada DNA babi dikesan kolam ternakan

LENGGONG : Hasil analisis sampel ikan tilapia dan baung yang diambil dari sebuah kolam ternakan di Redang Panjang, Selama, Perak disahkan tidak mengandungi DNA babi.

Exco Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ujian itu dijalankan Makmal Jabatan Kimia di Petaling Jaya.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Perikanan akan memantau kolam itu dan akan memasukkannya dalam program pemantauan DNA babi tahunan jabatan.

“Siasatan sebelum ini juga mengesahkan bahawa projek ternakan ikan tersebut tidak berdaftar dan difahamkan memulakan operasi pada Mei 2014.

“Malah, Pejabat Tanah dan Daerah Selama telah mengambil tindakan ke atas kedudukan tanah tersebut kerana melanggar syarat tanah di mana status tanah itu adalah untuk pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis Penyerahan Bantuan Touch Point Tahun 2014 Daerah Hulu Perak di sini, semalam.

Saarani berkata, lokasi kolam tersebut yang agak terpencil dan terletak di kawasan bukit di Kampung Palong Tinggi menyebabkannya sukar dikesan.

Katanya, kawasan itu juga agak jauh dari jalan raya dan satu-satunya laluan masuk ke kolam tersebut adalah menggunakan jalan tanah merah sepanjang beberapa kilometer.

“Semasa siasatan dijalankan, penternak tidak mengaku memberi makan daging khinzir kepada ikan ternakannya dan memberitahu bangkai yang ada di situ adalah bangkai kambing yang diperoleh dari kawasan sekitar.

“Meskipun tidak ditemui dengan jelas penggunaan bangkai khinzir sebagai makanan ikan, penjelasan penternak agak meragukan.

Seterusnya, enam sampel ikan baung dan tilapia diambil untuk diuji,” katanya.

Awal Disember lalu, negara dikejutkan dengan penyebaran gambar dimuat naik dalam laman sosial mendakwa sebuah kolam ikan memberikan bangkai babi sebagai makanan ternakannya.

Rentetan pendedahan itu, beberapa agensi termasuk Jabatan Perikanan Negeri menyerbu kolam dimaksudkan yang terletak di Redang Panjang, Kubu Gajah.

Dalam serbuan itu, beberapa sampel ikan diambil untuk dianalisis bagi membuktikan wujudnya penggunaan bangkai babi dalam operasi kolam berkenaan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");