Isu Panas

Timb Speaker II DUN: PAS Enggan Layan DAP, Tumpu Kebajikan Rakyat

PETALING JAYA: Pemuda PAS mempersoalkan tindakan DAP Selangor menuntut jawatan Timbalan Speaker kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) diwujudkan untuk parti itu.

Ketua Pemuda PAS pusat, Suhaizan Kaiat berkata tindakan DAP itu dilihat seperti ‘berat sebelah’ kerana parti itu telah pun mendapat jawatan Speaker DUN.

“Saya agak terkejut ketika mendapat tahu mengenai perkara ini. Saya fikir DAP Selangor perlu memberi penjelasan kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat serta rakyat Selangor sendiri mengenai alasan mereka menuntut jawatan tersebut diwujudkan.

“Nampak seperti tidak adil kerana jawatan Speaker telah diberikan kepada mereka,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Ditanya sama ada PAS pusat akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu tersebut, Suhaizan berkata: “Saya tidak pasti mengenai perkara tersebut, agenda mesyuarat perlu ditanya kepada Setiausaha Agung.”

“Apa yang pasti hujung minggu hadapan Jawatankuasa PAS pusat akan mengadakan mesyuarat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata PAS negeri tidak akan melayan tuntutan yang dikemukakan DAP negeri sebaliknya parti itu akan meneruskan agenda berkhidmat untuk rakyat.

“Kita sudah mendapat mandat untuk mentadbir negeri. Justeru lebih baik kita bekerja untuk rakyat berbanding kita berpolemik dan berpolitik seperti ini.

“Kita akan mengambil langkah tunggu dan lihat dalam isu ini kerana perkara ini sudah pun mendapat persetujuan daripada sidang DUN,” katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim dilaporkan berkata DAP wajar diberikan kerusi jawatan timbalan speaker kedua DUN memandangkan parti itu menunjukkan kesetiaan penuh kepada PKR dan Pakatan Rakyat sewaktu krisis menteri besar kira-kira lima bulan lepas.

Ng berkata untuk melantik timbalan speaker baharu, ia hanya memerlukan pindaan dalam enakmen selepas persetujuan dicapai daripada kalangan parti komponen dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali dipetik sebagai berkata, isu jawatan timbalan speaker kedua DUN Selangor akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata buat masa ini, dewan tetap berpendirian untuk mengekalkan hanya satu wakil timbalan speaker yang diisi oleh anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi daripada PAS, Mohd Shafie Ngah.

Azmin turut menafikan dakwaan DAP kononnya jawatan timbalan speaker baharu itu dijanjikan kepada parti itu dalam Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");