Isu Panas

Tindakan ADUN mahu letak jawatan bukti konflik PKR

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Dr Roland Chia Ming Shen memuat naik status mahu meletak jawatan sebagai wakil rakyat di laman sosial, menunjukkan wujud konflik dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Musa Aman, berkata ia dilihat menerusi kenyataan bercanggah kepemimpinan PKR peringkat pusat dan negeri berhubung status ADUN terbabit yang memberi alasan mahu berundur atas faktor kesihatan.

“Saya percaya ini masalah dalaman PKR kerana kita lihat dalam akhbar ada kenyataan PKR negeri dan pusat yang bercanggah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘MyWiN-Sabah Dare To Dream’ anjuran Akademi Inovasi Wanita (MyWiN) di sini, semalam.

Rabu lalu, Ming Shen memuat naik kenyataan berhubung hasratnya meletak jawatan sebagai ADUN menerusi twitter dengan alasan masalah kesihatan.

Maklum hasrat letak jawatan

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli kelmarin mengesahkan, Ming Shen sudah memaklumkan hasrat meletakkan jawatan menerusi e-mel yang dihantar kepada kepemimpinan PKR dan ia akan dibincangkan selepas beliau pulang dari luar negara dijangka hujung bulan ini.

Hasrat Ming Shen itu bagaimanapun menimbulkan tanda tanya sama ada disebabkan oleh masalah kesihatan atau isu lain, termasuk kemungkinan masalah dalaman parti berkenaan.

Mengulas persiapan BN Sabah jika berlaku pilihan raya kecil sekiranya Ming Shen sah meletak jawatan, Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, BN negeri akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenainya.

Belum terima surat letak jawatan

Beliau turut mengesahkan sehingga semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Said belum menerima surat peletakan jawatan daripada Ming Shen.

Sementara itu, Ming Shen menerusi status terbaharu di twitter miliknya semalam, berkata beliau kini berada di luar negara dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas Krismas.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");