Berita Hari Ini

Tiong Lai ulas tulisan Dr Mahathir mengenai MH17

Persoalan mengapa Belanda yang mengetuai siasatan nahas tragedi MH17 terjawab selepas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong berkata ianya dibuat berdasarkan kepada peraturan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Menurut beliau, sebagai pemilik pesawat Malaysia terbabit secara langsung sebagai satu pasukan di dalam penyiasatan berkenaan.

Tiong Lai berkata demikian ketika memberikan komen berkenaan tulisan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di blognya yang bertanyakan isu kenapa Belanda mengetuai siasatan.

“Mengikut peraturan itu, Ukraine sepatutnya mengetuai siasatan disebabkan pesawat itu jatuh di timur Ukraine.

“Bagaimanapun, dalam kes ini kerajaan Ukraine menyerahkan kepada Belanda untuk mengetuai siasatan,” kata Liow selepas merasmikan pameran solo tulisan khat Cina oleh Prof Cheng Haw Chien.

Peraturan Annex 13 menyatakan pihak pertama yang boleh mengetuai siasatan ialah negara di mana pesawat itu jatuh selain negara di mana pesawat itu berdaftar dan negara di mana pesawat itu direka bentuk.

Tiong Lai meminta orang ramai supaya tidak keliru berhubung peranan Malaysia dalam penyiasatan nahas itu.

Katanya, Malaysia selaku anggota penuh dalam Jawatankuasa Penyiasatan Antarabangsa MH17, mempunyai peranan yang sama seperti negara anggota lain.

Jelas Tiong Lai, tragedi melibatkan MH17 masih dalam siasatan dan bangkai pesawat kini berada di Belanda yang mengetuai siasatan .

Katanya, melalui penyiasatan ini pihaknya perlu mendapatkan data serta bukti sepenuhnya untuk mendakwa mana-mana pihak berhubung tragedi hitam ini.

Tambahnya lagi, rakaman kotak hitam itu juga masih dalam siasatan pihak Belanda dan Malaysia melantik tiga pakar tempatan untuk mengambil bahagian dalam setiap proses penyiasatan berkenaan.

“Kotak hitam itu telah diserahkan kepada Malaysia dan apabila kita berbincang berdasarkan laporan ICAO yang telah pun menentukan Belanda mengepalai jawatankuasa ini maka kita serahkan kepada Lembaga Keselamatan Belanda tapi kita bersama (dalam penyiasatan berkenaan)”, katanya.

Beliau menegaskan, sesiapa yang mengetuai proses penyiasatan adalah tidak penting.

Namun Malaysia amat memerlukan sokongan serta kerjasama semua negara anggota jawatankuasa penyiasatan untuk menyelesaikan perkara ini.

Khamis lalu, Dr Mahathir menuntut supaya bangkai pesawat MH17 dibawa balik ke negara ini ‘sebagai satu hak.’

“Rakyat Malaysia yang harus memeriksanya secara penuh dan menyeluruh. Lagipun, Malaysia juga yang akhirnya akan disaman oleh keluarga mangsa, ” katanya.

Memandangkan pesawat tersebut adalah milik Malaysia, begitu juga anak-anak kapal dan ramai penumpangnya adalah rakyat Malaysia, Dr Mahathir amat tidak senang bagaimana negara ini hanya dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pemeriksaan bangkai pesawat itu.

“Malaysia seolah-olah terlalu bersyukur apabila dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pemeriksaan bangkai pesawat di Belanda. Mengapa kita perlu menghargainya?,” katanya.

Beliau mengakui bahawa penumpang yang paling ramai terkorban adalah dari Belanda, tetapi tertanya-tanya undang-undang apakah yang menyatakan pesawat itu sebagai milik mereka.

Dr Mahathir turut mempersoalkan penyerahan kotak hitam pesawat kepada Belanda dan British walaupun pada awalnya ia diberikan kepada pihak berkuasa Malaysia.-14/12/2014-agendadaily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");