Berita Hari Ini

Veteran tentera jadi anggota Dewan Negara

ALOR SETAR – Bagi memudahkan masalah dan keluhan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disuarakan untuk perhatian kerajaan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya mencadangkan presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM) dilantik sebagai anggota Dewan Negara.

Katanya, dengan jumlah keanggotaan PVATM yang ramai, iaitu 355,000 orang di seluruh negara, kementerian itu berpendapat persatuan itu perlu ada wakil yang boleh menyampaikan suara mereka di Dewan Negara.

“Kepentingannya ialah suara mereka (veteran) dapat kedengaran di Dewan Negara. Kalau setakat Menteri Pertahanan sahaja (yang suarakan) saya bimbang orang tidak meletakkan kedudukan veteran kita pada tempat sewajarnya.

“Tapi saya perlu memohon dan beri maklum kepada Perdana Menteri terlebih dahulu kerana keputusan (untuk melantik) itu adalah keputusan beliau,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negara ke-89 PVATM, di sini, semalam.

Presiden PVATM ialah Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, beliau juga telah meminta Ketua Setiausaha kementeriannya untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi membuat kajian dan mendapatkan formula terbaik bagi menambah baik aspek kebajikan serta menentukan hala tuju veteran ATM.

“Pembelaan veteran ATM adalah agenda yang tidak boleh dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan yang sesuai untuk menambah baik, khususnya dalam soal kebajikan veteran ATM, perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermusim. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");