Berita Hari Ini

YBUDR senarai hitam kontraktor

PARIT – Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) akan menyenaraihitamkan kontraktor pembinaan skim rumah insan Aman Jaya di bawah projek YBUDR jika didapati kontraktor itu tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ketua Khidmat Pengurusan Infra YBUDR, Khairul Shahril Mohamed berkata, pihaknya mengambil tindakan demikian apabila terdapat aduan daripada pemilik rumah dan hasil siasatan Pegawai YBUDR mendapati pihak kontraktor gagal menepati syarat pembinaan rumah yang ditetapkan.

Menurutnya, langkah itu perlu untuk memberi pengajaran kepada pihak kontraktor yang dilantik supaya tidak mengambil mudah perkara itu dan hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata.

“Kita akan senarai hitamkan kontraktor yang didapati tidak menepati syarat ditetapkan kerana sebelum penyerahan rumah dibuat kita akan memanggil pihak kontraktor, tuan rumah dan wakil YBU untuk membuat penilaian akhir.

“Analisis kontraktor juga akan dibuat untuk memastikan kualiti pembinaan menepati ciri ditetapkan berdasarkan laporan daripada penyelia YBUDR yang ditugaskan untuk melaksanakan kerja itu,” katanya.

Beliau memberi maklum balas mengenai perkara itu apabila Sinar Harian baru-baru ini menyiarkan berita berkenaan kekecewaan seorang pemilik rumah skim rumah insan YBUDR, Yusoff Nor Al-Islam Ismail, 25, yang mendakwa rumahnya tidak dibina dengan sempurna.

Yusoff mendakwa apabila penyerahan kunci dibuat dia mendapati lantai rumah retak, paip bocor, tingkap tidak sesuai dengan saiz sebenar dan bumbung bocor.

Khairul Shahril bersama pegawai YBUDR telah mengadakan lawatan ke rumah berkenaan bagi mengenal pasti dan membuat siasatan tentang masalah yang berlaku di Kampung Raja di sini, semalam.

Khairul Shahril berkata, aduan berkenaan akan diambil tindakan segera.

“Kita telah membuat satu borang aduan bagi memudahkan pemilik rumah membuat aduan tentang sebarang masalah yang berlaku melibatkan rumah mereka.

“Kita mempunyai tempoh tanggungan kecacatan selama enam bulan dan wang tahanan sebanyak 5 peratus daripada nilai kontrak yang bertujuan untuk membaiki segala kerosakan rumah.

Menurutnya, dalam masa sama pihak YBUDR akan melantik kontraktor lain untuk membaik pulih semula semua aduan yang dibuat oleh pemilik rumah.

“Pegawai atau penyelia projek yang bertanggungjawab akan memantau kerja-kerja pembinaan rumah skim insan itu supaya masalah sama tidak berulang,” katanya.
-sinarharian-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");