Panasnya Hari Ini

PRN Sarawak: 11 DUN Baharu Dicadangkan, Jumlah Kerusi Bakal Bertambah Kepada 82

Senario politik semasa kini mulai beralih kepada spekulasi Pilihanraya Kecil Negeri (PRN) Sarawak ke-11 yang dijangka diadakan pada Jun nanti atau selewat-lewatnya menjelang Januari 2016.

Spekulasi itu timbul selepas Dewan Undangan Negeri meluluskan 11 kerusi tambahan untuk dipertandingkan dalam pilihan raya kelak.

Sudah pastinya semua pihak termasuklah penganalisis politik bakal memberi perhatian terhadap perkembangan politik terbaru di Sarawak yang diterajui Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Baik parti kerajaan atau Pakatan Rakyat (PR), kedua-duanya perlu bekerja keras untuk memenangi hati rakyat di 11 kerusi DUN baharu tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan kerusi baharu itu bagi menghadapi PRN Sarawak ke-11 yang dijangka tamat tempoh matangnya pada bulan Jun 2016.

Sehubungan itu, SPR mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri Sarawak bermula dari 5 Januari sehingga 4 Februari depan dilaman web rasmi SPR dan ianya terbuka untuk sebarang bantahan bersyarat.

DUN baharu yang dicadangkan SPR adalah N13 Batu Kitang; N17 Stakan; N23 Triboh; N26 Gedong; N40 Kabung; N57 Tellian; N63 Selirik; N66 Murum; N70 Samalaju dan N78 Long Lama.

Jika diterima tanpa bantahan, jumlah keseluruhan DUN di Sarawak akan menjadi 82 kawasan dan turut dipamerkan ialah senarai kod baru untuk DUN selepas persempadan semula.

Seperti biasa, pihak pembangkang menerusi kumpulan pendesak pilihan raya, BERSIH tampil mempertikaikan cadangan persempadanan semula yang dikemukakan oleh SPR.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata, sebelum ini, BERSIH menggesa SPR agar mempercepatkan syor persempadanan semula DUN Sarawak.

Peliknya, selepas cadangan persempadanan semula diumumkan, SPR dianggap seolah-olah tergesa-gesa pula.

“Hujung tahun lepas dia (BERSIH) marah kenapa lambat sangat (bentang persempadanan semula).

“Sekarang kita buat, dia kata kita cepat sangatlah. Merepeklah ini…” kata Aziz seperti yang dilaporkan Malaysiakini ketika diminta mengulas perkara tersebut.

Abdul Aziz berkata, pilihan raya negeri Sarawak hanya perlu diadakan menjelang 22 Jun 2016, justeru persempadanan semula boleh dibuat pada bila-bila masa sebelum tarikh itu.

Tindakan tidak konsisten BERSIH itu mengundang persoalan berkemungkinan PR belum bersedia untuk menghadapi PRN Sarawak kerana perpaduan dan kerjasama antara parti semakin rapuh sejak kebelakangan ini.

Sebagai contoh, isu pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan PAS tetapi dibantah sekeras-kerasnya oleh DAP boleh menjejaskan peluang PR untuk memenangi PRN Sarawak.

Nasib Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rayuan kes liwat juga bakal diketahui tidak lama lagi dan sekiranya keputusan tidak berpihak kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, ia sudah pastinya memberi tamparan hebat buat PR sekaligus menjejaskan peluang mereka untuk memenangi PRN Sarawak ke-11.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");