Jenayah

2,364 PATI ditahan dalam Ops Gasak di ESSZONE sepanjang 2014

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan 2,364 pendatang tanpa izin (PATI) menerusi 33 Ops Gasak yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu. Kesemua mereka sudah diambil tindakan undang-undang termasuk dihantar balik ke negara asal.

Komander ESSCOM, Datuk Abdul Rashid Harun, berkata daripada jumlah itu, 1,727 adalah lelaki manakala selebihnya wanita, yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah.

Beliau berkata, seramai 6,081 diperiksa sepanjang tempoh itu yang tertumpu di kawasan penempatan kampung air dan perkampungan setinggan di ESSZONE.

Katanya, Semporna mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 1,519 orang, diikuti Lahad Datu dengan 518 orang dan Sandakan 187 orang.

“Kita sedar bahawa kes kemasukan PATI adalah masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat sekitar Pantai Timur Sabah khasnya di Semporna, Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.

“Dalam hal ini, jangan bersubahat dan memberi perlindungan kepada PATI, sebaliknya lapor kepada pihak keselamatan di kawasan masing-masing,” katanya pada Majlis Perjumpaan ESSCOM Bersama Masyarakat Mukim Rancangan Sungai Manila di Kampung Muhibah, dekat sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Edris dan Pengarah Awam ESSCOM, Ruji Ubi.

Abdul Rashid berkata, mereka yang didapati bersekongkol dan cuba melindungi PATI boleh diambil tindakan mengikut Akta Imegresen Perkara 56(a)(1) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan khabar angin disebarkan melalui media sosial seperti WhatsApp, Youtube, Facebook dan Twitter, sebaliknya merujuk kepada pihak keselamatan atau ESSCOM untuk kesahihannya.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");