Sukan Hari Ini

Aura YE Yang

Kuala Lumpur: Pemain Jelajah PGA Amerika Syarikat, Yang Youn-eun atau YE Yang(gambar) dari Korea Selatan antara pemain utama Asia yang mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia 2015, minggu depan.

Youn-eun, 43, dengan nama jolokan ‘The Tiger Killer’, mula menonjol apabila melakukan kejutan menyingkirkan Tiger Woods dengan kelebihan tiga pukulan untuk merangkul gelaran sulung utama pada Kejohanan PGA 2009.

Pihak penganjur dalam kenyataan semalam berkata, 156 pemain dari 36 negara akan berentap pada kejohanan bernilai AS$3 juta (RM10.9 juta), sekali gus menjadikan kejohanan itu paling lumayan di rantau ini.

Kejohanan tahunan ini berlangsung di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) pada 5 hingga 8 Februari.

Selain Youn-eun, barisan pemain Asia lain ialah bekas juara dua kali, Arjun Atwal dari India, bintang tersohor Thailand, Thongchai Jaidee yang menghuni ranking ke-38 dunia dan pemain meningkat naik dari China, Liang Wen Chong.

Bintang semakin menonjol, Rashid Khan, 24, akan menggalas cabaran India bersama pemain berpengalaman, Anirban Lahiri dan Gaganjeet Bhullar.

Thailand pula tidak kurang hebat apabila menampilkan barisan pemain berwibawa seperti juara edisi 2013, Kiradech Aphibarnrat, Prom Meesawat, Thaworn Wiratchant dan Prayad Marksaeng.

Pemain veteran Singapura, Mardan Mamat yang menjuarai Kejohanan Sabah Masters awal bulan ini, serta pemain Filipina, Angelo Que turut menyerikan kejohanan tahun ini.

Selain barisan pemain Asia, kejohanan kali ini turut disertai juara bertahan Lee Westwood dari England, bintang juara bertahan Piala Ryder, Victor Dubuisson (Perancis) dan bekas juara Terbuka Amerika Syarikat 2010, Graeme McDowell dari Ireland.

Di samping itu, mata ranking dunia diperoleh daripada kejohanan ini akan menyumbang kepada ‘Order of Merit’ Jelajah Asia serta diambil kira dalam pemburuan tempat ke kejohanan berprestij ‘Race to Dubai 2015’ di bawah Jelajah Eropah. – BERNAMA

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");