Perak Hari Ini

Banjir: KKLBW Beri Penangguhan Enam Bulan Untuk Bayar Balik Pinjaman

KAMPUNG GAJAH: Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) bersedia memberi kelonggaran kepada peminjam yang terjejas akibat bencana banjir menangguhkan pembayaran semula pinjaman mereka selama enam bulan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata penangguhan pembayaran tersebut melibatkan kesemua pinjaman yang ditawarkan oleh kementerian berkenaan.

“Ia termasuklah pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diperuntukkan bagi pekedai runcit di seluruh Perak serta pinjaman yang melibatkan kesemua agensi di bawah kelolaan kementerian,” katanya lagi.

Jelasnya, kerajaan memandang serius bencana banjir yang menimpa di beberapa negeri dan usaha berterusan akan digerakkan untuk membantu rakyat.

Menurutnya lagi, tinjauan banjir yang bukan hanya melibatkan anggota sukarelawan tetapi juga disertai pemimpin negara dilihat sebagai pendekatan yang cukup baik.

“Penglibatan dan komitmen yang ditunjukkan ternyata cukup baik,” katanya.

Tambahnya lagi, kaedah yang tersusun dan terancang berupaya meringankan bebanan rakyat yang terjejas dengan bencana banjir.

“Persediaan menghadapi banjir perlu diberi perhatian dan paling utama adalah operasi menyelamatkan mangsa dan bantuan yang dihulurkan kepada mereka,” jelasnya.

PERAK TODAY 13

Ujar Shafie lagi, pembersihan kawasan banjir memerlukan penglibatan semua pihak serta masyarakat setempat agar masing-masing dapat memainkan peranan mereka.

“Penduduk perlu bersedia bagi menghadapi banjir serta menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan perkampungan yang terjejas,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut menyarankan penangguhan sesi persekolahan milik kerajaan yang dijadikan sebagai pusat perpindahan sementara akibat banjir.

“Penempatan mangsa masih lagi terjejas dan tidak boleh dibaikpulih sepenuhnya dan sebahagian besar mangsa juga masih lagi berada di pusat pemindahan.

“Tangguhkan seminggu lagi sesi persekolahan kerana Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak masih digunakan sebagai penempatan sementara,” katanya.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa melawat kawasan yang dilanda banjir seperti Kampung Biak, Kampung Bendang Besar dan Kampung Pasir Salak bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat banjir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");