Perak Hari Ini

Bayi Lapan Bulan Perlu Dana RM250,000 Jalani Pemindahan Hati

IPOH: Seorang bayi berusia lapan bulan yang menghidap penyakit Biliary Atresia memerlukan bantuan kewangan berjumlah kira-kira RM250,000 bagi menjalani pembedahan pemindahan hati dalam tempoh masa terdekat.

Muhd Aril Zafran yang merupakan anak tunggal kepada pasangan Jamilulehsan Mohd Taridi, 28, dan Nur Amirah Syazwani, 22, dikesan menghidap penyakit tersebut seawal usia dua bulan ketika mendapat rawatan bulanan di sebuah klinik.

Menurut Nur Amirah, doktor pakar telah menasihatkan agar anaknya menjalani pembedahan pemindahan hati.

“Pada umur dua bulan, Aril disahkan menghidap penyakit tersebut dan apabila doktor mengambil darahnya pada bulan Disember yang lalu, doktor memberitahu bahawa hatinya sudah merosot.

“Jalan terakhir yang dicadangkan oleh doktor adalah rawatan pemindahan hati kerana tidak ada rawatan lain yang boleh membantu anak saya.

“Doktor telah menyarankan kami membawa Aril ke Singapura untuk pembedahan, namun kosnya agak tinggi iaitu mencecah hingga RM900,000.

“Jadi, saya telah merujuk kepada ibu kanak-kanak yang menghidapi penyakit sama seperti Aril yang telah selamat menjalankan pembedahan di India dan oleh sebab itu kami juga mahu membawanya menjalani rawatan di sana,” katanya.

PERAKTODAY1 (5)

Beliau berkata lagi, buat masa ini, kesihatan anaknya itu tidak mengizinkan berikutan tanda-tanda penyakit tersebut sudah kelihatan.

“Mata dan warna kulit Aril menjadi kuning, perutnya pula semakin membesar dan apabila beliau membuang air besar, najisnya berwarna kuning pucat serta air kencingnya pula berwarna kuning pekat.

“Sudah dua bulan berat badannya tidak berubah iaitu hanya 7.8 kilogram tetapi ia bukan berat sebenar Aril kerana dalam perutnya terdapat air.

“Aril juga mengalami sesak nafas ketika tidur dan tidak mahu makan hingga menyebabkan badannya menjadi lemah,” katanya lagi.

Tambahnya, ibu mana yang mampu melihat penderitaan dan kesakitan yang ditanggung oleh anak kandungnya sendiri.

“Rasa sakit melahirkannya tidak sesakit melihat keadaan Aril sekarang ini kerana kami hanya mampu melihat apabila beliau menangis kesakitan.

“Saya sudah tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung Aril dan saya merayu bantuan kewangan daripada orang ramai untuk mempercepatkan pembedahan tersebut,” jelasnya.

PERAKTODAY (5)

Ibu muda itu yang merupakan surirumah sepenuh masa, manakala suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori juga berharap agar dana tersebut dapat dikumpul dengan segera.

“Setakat ini, kami ada menerima sumbangan daripada orang perseorangan namun jumlahnya terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah kos rawatan tersebut.

“Saya berharap agar pembedahan tersebut dapat disegerakan kerana kesihatan Aril semakin hari semakin merosot,” katanya.

Sementara itu, beliau sendiri katanya, akan menjadi penderma hati kepada anaknya itu.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke akaun Maybank 108270021812 atas nama Nur Amirah Syazwani dan akaun CIMB 871012385539 atas nama Jamilulehsan.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai perkembangan kanak-kanak itu juga boleh melayari laman Facebook ‘Donation For Muhd Aril Zafran’.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");