Sukan Hari Ini

Hanelang A cipta kejutan

TANPA sebarang harapan dan keyakinan diletakkan, gelaran juara Liga Sepak Takraw Malaysia 2014/15 (STL) akhirnya menjadi milik pasukan Hanelang A yang menafikan regu pilihan sepanjang kejohanan berlangsung di empat zon.

Regu yang diwakili trio bekas pelapis kebangsaan, Zulkifli Abdul Razak, Safarudin Abu Bakar dan Fadzli Roslan membuktikan kemampuan apabila mudah menewaskan regu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hanelang juga mencuri perhatian apabila mengejutkan dua pasukan pilihan, Bukit Putra (suku akhir) dan ATM A (separuh akhir) untuk memastikan kemaraan ke final sebelum bergelar juara sulung dengan membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM20,000.

Selain itu, pemain mereka, Safaruddin Abu Bakar dinobatkan sebagai ‘feeder’ terbaik kejohanan.

Tepis ramalan

Bagi jurulatih Hanelang A, Ahmad Mohd Zin, ramalan atas kertas bukanlah penentu setiap kejohanan walaupun menyedari peluang untuk mendapat tempat dalam kejohanan berprestij seumpama ini sukar.

“Kami mengetepikan ramalan di atas kertas, pemain menunjukkan permainan bertenaga dan kurang melakukan kesilapan. Lawan banyak terkandas ketika membuat servis dan itu juga membantu kita mendapat mata.

“Pemain saya menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi sepanjang permainan, ia kemenangan yang cukup manis.” katanya.

Pada perlawanan tersebut, regu Hanelang A tidak berdepan masalah mencapai kemenangan apabila berjaya membenam lawan dengan keputusan 21-13, 21-17.

Terlalu lama

Namun nada berbeza disuarakan jurulatih PDRM D, Kamarulzaman Yusoff mengakui faktor usia dan kepenatan adalah punca pasukannya gagal memberi tentangan sengit kepada lawan yang diperkuatkan tenaga muda.

“Peringkat separuh akhir kami bersaing hebat dengan regu GASTEP B yang berlarutan sehingga tiga set, namun saya bangga dengan semangat juang pemain beraksi sepanjang kejohanan,” katanya.

PDRM D ditunjangi bekas pemain kebangsaan, Normanizam Ahmad, Masran Rahman dan Azli Jamil yang menampilkan aksi hebat untuk merakamkan kemenangan penuh dramatik pada peringkat separuh akhir membawa pulang RM15,000 selaku naib juara dengan Normanizam yang cukup dikenali sebagai regu emas Sukan Sea 2005 dinobatkan tekong terbaik kejohanan.

Bawa hasil

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik GASTEP B diterajui bekas apit kiri kebangsaan, Muqlis Borhan yang menewaskan ATM A dalam pertarungan tiga set 21-19, 16-21, 21-13 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala ATM A menerima RM5,000 – ‘killer’ ATM A, Sazali Saat pula dinobatkan sebagai ‘killer’ terbaik kejohanan.

Kesemua tekong, ‘feeder’ dan ‘killer’ terbaik kejohanan masing-masing menerima RM3,000 disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");