Membawang Hari Ini

Hulur derma sambil berhibur

Barisan artis yang membuat persembahan di RTC Napoh, Jitra baru-baru ini turut menghulurkan bantuan buat mangsa banjir di pantai timur dan Perak.

Mereka yang terdiri Mas Omar dan artis di bawah pengurusannya iaitu Datuk M Daud Kilau, Sheeda, Ibnor Riza serta Ronnie Hyperact berjaya membuat kutipan sebanyak RM3,000 untuk tabung mangsa banjir dalam program anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan kerjasama BMC Venture dan Sheeda Entertainment itu.

Mas Omar berkata, mereka berbesar hati apabila dapat membantu golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi ada dalam kalangan artis turut ditimpa bencana terbabit.

“Mulanya kami sendiri ragu-ragu status program ini sama ada dibatal atau diteruskan. Bagaimanapun, penganjur membuat keputusan bijak meneruskan juga kerana ia bukan sekadar menampilkan hiburan sebaliknya turut diisi dengan pelbagai aktiviti lain antaranya jualan produk IKS, jualan pokok hiasan dan banyak lagi.

“Ia sebuah program menjana ekonomi peniaga kecil dan langkah KEDA wajar dipuji. Dalam pada itu, kami terfikir untuk mengadakan kutipan pada setiap malam ketika persembahan dan idea ini dipersetujui oleh penganjur,” katanya.

Mas Omar berkata, tanpa disangka pengunjung yang hadir juga memberikan respons yang bagus dan mereka tidak lokek menderma untuk tabung ini.

“Saya dapati ramai daripada kalangan masyarakat yang prihatin nak membantu tapi tidak tahu bagaimana cara untuk menghulurkan sumbangan. Dengan ada­nya tabung bantuan di depan mata, mereka dapat membuat sumbangan secara terus.

“Paling mengujakan ialah mereka berebut-rebut menghulurkan sumbangan ketika artis sendiri bawa tabung itu dalam persembahan. Tak kira tua dan muda, semuanya menunjukkan kesungguhan untuk menderma,” katanya.

Sementara itu, Mas Omar juga merayu agar semua pihak tidak membuat keputusan sewenang-wenangnya membatalkan persembahan artis dengan memberikan alasan banjir.

“Kami faham dan menghormati keadaan mangsa yang terbabit dengan bencana banjir. Namun harus diingat nyanyian ialah sumber utama artis. Jika tak menyanyi, apa lagi yang mereka boleh buat untuk cari makan?

“Pihak yang mempu­nyai kuasa juga perlu memikirkan persembahan yang bakal diadakan itu untuk apa? Jika ia sekadar untuk berhibur tanpa matlamat mungkinlah sesuai dibatalkan.

“Tapi rasanya program kecil seperti yang kami buat serta yang diadakan dalam dewan tak perlulah dibatalkan. Bahkan kita boleh menyesuaikannya lagi de­ngan mewujudkan tabung kutipan yang kami buat. Sekurang-kurangnya, ia dapat membantu mangsa banjir,” katanya.

Sheeda pula melahirkan rasa sedih de­ngan bencana banjir yang menimpa beberapa negeri terutama negeri kelahirannya, Kelantan. Bagaimanapun dia bersyukur kerana dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang malang ini.

“Saya memang rasa sebak memikirkan apa yang terjadi. Tapi sekurang-kurangnya saya puas dapat membantu walaupun hasilnya bukanlah besar sangat. Terima kasih kepada semua peminat yang prihatin menghulurkan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir.

“Semoga niat baik dan pertolongan yang kita hulurkan mampu meri­ngankan beban mereka yang memerlukan. Apapun kita semua kena reda dengan ujian yang Allah SWT turunkan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");