Membawang Hari Ini

Janji Avenged Sevenfold

Pernah berjanji akan datang kembali menghiburkan peminat di sini pada konsert sulung mereka April 2012 lalu, band heavy metal Avenged Sevenfold mengotakan janji mereka apabila hadir semula menjayakan konsert Avenged Sevenfold Live in Kuala Lumpur 2015, Jumaat lalu.

Tidak dinafikan, peminat band yang juga dikenali sebagai A7X ini sememangnya antara paling luar biasa di dunia. Hakikatnya, di Malaysia sendiri peminatnya cukup kuat dan sentiasa menantikan kehadiran mereka.

Buktinya pada konsert yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon itu dihadiri lebih 5,000 penonton sekali gus mengulangi kejayaan mereka pada konsert pertama di lokasi yang sama lebih dua tahun lalu.

Penulis yang turut membuat liputan pada konsert sebelum ini dapat merasai lebih kehangatan kali ini dalam persembahan band yang dianggotai M Shadows (penyanyi), Synyster Gates (gitar utama), Zacky Vengeance (gitar kedua), Johnny Christ 9bass) dan Arin Ilejay (dram) itu.

Jika diperhatikan, kekuatan sebenar Avenged Sevenfold terletak kepada peminat mereka selain karya cemerlang yang meletakkan mereka di kelas tersendiri.

Berbanding konsert sebelum ini, istimewanya mereka terus memulakan persembahan tepat jam 9 malam itu tanpa kehadiran artis jemputan untuk pembukaan. Ini memberi lebih masa kepada mereka menyanyikan lagu terbaik mereka.

Persembahan mereka berterusan dengan himpunan lagu popular mereka tanpa ada elemen ‘membuang masa’ ditampilkan.

Sukar untuk menggambarkan, namun tenaga dan aura yang diserlahkan A7X di pentas memang semacam. Bagaikan magnet, tiada satu momen pun peminat ditinggalkan dengan perasaan bosan.

Bahkan, ada dalam kalangan penonton yang hadir pada malam itu sebenarnya bukan pengikut tegar band berkenaan, namun turut sama menikmati kehangatan itu.

Pujian harus diberikan kepada penyanyinya M Shadows yang tidak tergugat pun tenaga serta nyanyiannya meskipun hampir keseluruhan lagu memerlukannya melontarkan vokal pada tahap maksima.

Begitu juga dengan pilihan lagu di mana mereka tahu bagaimana mengekalkan momentum agar peminat terus menyanyi sekali bersama mereka.

Sambil memberikan bayangan dan kemudian memberi pengenalan kepada lagu mereka, setiap kali itulah penonton jadi ‘gila’.

Boleh dikatakan hampir keseluruhan lagu dipersembahkan ketika itu memang ‘makanan’ semua penonton. Atmosfera pada malam itu jadi lebih bermakna pastinya apabila lagu kegemaran peribadi masing-masing dinyanyikan mereka.

Di pentas juga tidak kurang panasnya apabila anggota band itu masing-masing bijak memainkan peranan. Terutama sekali dua gitarisnya, Zackey dan Synyster menunjukkan kehebatan ‘menggoreng’ gitar.

Pada saat itu, kebanyakan penonton seakan tidak mampu menahan lagi keterujaan apalagi pastinya dalam kalangan mereka, ada yang menjadikan dua gitaris berkenaan idola mereka.

Membuka persembahan dengan lagu Critical Acclaim, bahang persembahan diteruskan dengan lagu berhantu mereka termasuklah Welcome to The Family, Buried Alive, Since The Day, Nightmare, Chapter 4, dan I’m Not Insane.

Kehangatan malam itu memuncak dengan persembahan diteruskan pula dengan Afterlife, This Means War, Almost Easy, dan Hail to The King. Manakala, pada segmen ‘encore’ pula, jeritan kembali bergema apabila A7X kembali ke pentas dan mendendangkan Little Pieces of Heaven.

Berlangsung selama dua jam, rata-rata penonton yang hadir nampaknya kelihatan tidak puas dan mahukan lebih persembahan. Begitulah kegilaan mereka terhadap band berkenaan sehinggakan sempat menunggu penuh harapan agar mereka kembali ke pentas.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");