Sukan Hari Ini

Lawan habis-habisan pertahan piala

KAPTEN Tok Gajah, Mohd Razman Roslan mengingatkan rakan sepasukan supaya tampil ‘all-out” apabila bertandang ke Larkin berdepan Harimau Selatan dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2015 bagi misi merebut Piala Sumbangsih malam esok.

Malah dengan status juara bertahan, Razman yang juga mesra dengan gelaran Kapten Marvel itu yakin dengan semangat juang pemain lain yang ingin memastikan piala tersebut tidak terlepas ke tangan lawan.

Menurutnya, dia dan rakan lain juga tidak boleh terleka biarpun rekod pertemuan memihak kepada Pahang dan musim lalu, Pahang masih belum pernah tewas di tangan juara Liga Super 2014, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya juga berharap rakan-rakan yang terpilih turun beraksi Sabtu ini (malam esok) memberikan komitmen 100 peratus dalam perlawanan tersebut.

“Biarpun ia bukan tugas mudah, saya tetap optimis dengan kelebihan dimiliki oleh Pahang,” kata pemain pertahanan itu.

Ditanya kelebihan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu, bekas pemain Selangor itu memberitahu, keserasian dan semangat berpasukan yang diterapkan dalam pasukan tersebut banyak membantu kejayaan Tok Gajah selama ini.

“Dengan barisan pemain sedia ada, keserasian antara kami semakin padu dan semangat berpasukan yang menjadi elemen utama boleh diterjemahkan di atas padang dengan baik,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

Menurutnya, setakat ini persediaan pasukan itu berjalan lancar dan walaupun kecederaan pemain seperti Azamuddin Md Akil yang tidak dapat turun beraksi malam esok, dia meletakkan keyakinan terhadap pengganti penyerang kebangsaan itu.

“Insya-ALLAH, dengan sokongan padu peminat dan doa oleh semua pihak, kejayaan akan memihak Pahang sekali gus dapat mempertahankan piala ini buat kali kedua berturut-turut,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");