Membawang Hari Ini

Nowseeheart cipta lagu khas buat arwah Bob

KEHILANGAN Ahmad Firdaus Baharuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Bob ternyata meninggalkan kesan mendalam terhadap ahli-ahli kumpulan Nowseeheart yang lain apatah lagi mereka sudah bersahabat baik sejak di bangku sekolah.

Justeru, melalui album terbaharu mereka, Katakan, kumpulan Nowseeheart yang dianggotai empat sahabat, Muhammad Sariman Abd Manap, 39, Idzhar Jumali, 39, Mohd Huzaimi Mohd Zaini, 38, dan Azahari Abdul Rahman, 36 mendedikasikan lagu Damai Di Sana khas buat temannya itu.

Mewakili anggota lain, Idzhar memberitahu, lagu Damai Di Sana adalah hasil ciptaan Ito Lara dan Azahari dihasilkan khusus untuk mengenang arwah Bob,

“Lagu ini sememangnya dibuat khusus untuk Bob daripada kalangan rakan-rakannya yang cukup rapat dengannya

“Pemilihan Ito Lara adalah kerana dia adalah individu yang sangat rapat apatah lagi dia pernah menjadi pengurus kami.

“Malah, kami turut mengambil masa yang lama ketika merekodkan lagu ini ekoran perasaan sedih yang cukup tebal,” katanya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.

Allahyarham Bob menghembuskan nafas terakhir pada 20 Mac 2014 akibat dari komplikasi buah pinggang, jantung dan paru-paru berair.

Bermula dengan enam ahli, Nowseeheart kini hanya tinggal berempat ekoran pengunduran Mujahid Abdul Wahab dan kematian arwah Bob.

Ditebak mengenai penambahan ahli baharu, Muhammad Sariman memberitahu perkara itu kemungkinan tidak akan berlaku.

“Alhamdulillah, kami tiada ahli baharu. Biarlah kami hanya berempat.

“Kami tidak akan bertambah, tetapi jika berkurang sekali pun mungkin kerana sibuk dengan komitmen kerja yang tinggi.

“Kini, mungkin berempat, akan datang bertiga atau berdua. Kami tetap Nowseeheart.

“Lagipun, persahabatan ini sudah terjalin dengan sangat lama. Kami boleh diibaratkan seperti adik beradik,” katanya.

Masih aktif

Dalam pada itu, Nowseeheart baharu saja melancarkan buah tangan terbaharu mereka, Katakan selepas menyepi sejak sekian lama.

Sudah berada di pasaran sejak Disember 2014, Azahari memberitahu, album ini menampilkan gabungan lagu dari pelbagai generasi sekali gus menjadikan ia sebagai sesuatu yang istimewa.

“Rupa-rupanya, selepas lama tidak menghasilkan album baharu, ramai peminat masih lagi mengenali dan mengingati Nowseeheart dan terus setia memberi sokongan.

“Kami sedar, peminat kami itu terdiri daripada pelbagai generasi bermula dari akhir tahun 1990-an sehinggalah kini dan kerana itu kami perlu menimbang tara di antara dua generasi itu.

“Oleh sebab itu, kami perlu menggabungkan jalinan di antara dua elemen itu di dalam satu album. Walaupun album ini materialnya lama tetapi kami ada melakukan sedikit perubahan terutama daripada segi lirik agar ia kelihatan lebih segar,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Huzaimi memberitahu, mereka lebih selesa mengambil pendekatan untuk mengalunkan lagu-lagu berunsur masyarakat sejagat supaya bersesuaian untuk didengar oleh semua bangsa.

“Pengisian bagi setiap lagu dalam album ini menepati kepada kehidupan masyarakat sejagat.

“Ini kerana liriknya yang dihasilkan bersifat santai, puitis dan banyak memberikan nasihat sesuai dengan melodi.

“Sebelum hendak buat lagu, kami akan duduk berbincang sama-sama dan keluarkan idea bersama,” jelasnya.

Diterbitkan oleh Inteam Records Sdn Bhd dan diedarkan secara bersama dengan Sony Music (M) Sdn Bhd ini, Katakan memuatkan sembilan lagu iaitu Katakan, Sudahlah, Selawat Untukmu, Aku Sayang Kamu, Saksi, Damai Di Sana, Damai Yang Hilang 2014 dan Fatwa Hati.

“Kami berharap agar semua lagu ini bersifat mesra radio sekali gus mampu menarik perhatian pendengar segenap generasi,” katanya.

Meskipun kurang publisiti, namun Nowseeheart tetap aktif dalam industri nasyid. Buktinya, mereka baharu saja dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Artis Nasyid Berkumpulan Paling Popular di Anugerah Nasyid IKIM FM 2014, baru-baru ini.

“Sebelum ini, kami masih aktif dalam industri nasyid tanah air dengan menghasilkan single, album kompilasi, album selawat, zikir dan doa.

“Namun, kebanyakan album yang dihasilkan itu tidak uar-uarkan dengan mengadakan majlis pelancaran untuk mengundang media.

“Jadi, disebabkan itu Nowseeheart dilihat bagaikan menyepi diri dan menghilang,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");