Sukan Hari Ini

Pellegrini beri amaran kepada pemain Man City, ‘jangan sakit’

MANCHESTER: Manuel Pellegrini mengakui Manchester City tidak mampu ‘sakit’ seandainya mahu mengelak penyingkiran memalukan di pusingan empat Piala FA menentang kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough, esok.

Kelab kaya raya Inggeris, City menikmati cuaca hangat kem latihan pasukan di Abu Dhabi, negara kelahiran pemilik kelab itu sebelum kembali ke cuaca sejuk di England, lewat hari ini, kurang 24 jam sebelum bertemu Middlesbrough di Eastlands.

Sebelum ke Abu Dhabi, City yang juga juara 2011 mengharungi kekalahan menyakitkan kepada Arsenal dalam kempen Liga Perdana menyebabkan jurulatih, Pellegrini mahu pemainnya perlu memberikan aksi terbaik ketika menentang Middlesbrough.

“Saya menjangkakan perlawanan yang sukar. Mereka (Middlesbrough) berada di kedudukan yang amat baik di Liga Kejuaraan dan mereka diuruskan pengurus yang saya kenal cukup bagus.

“Saya yakin jika kami tidak bermain dengan tumpuan dan keamatan 100 peratus, kami akan bermasalah untuk mara ke peringkat seterusnya dalam kejohanan ini jadi kami perlu bermain dengan baik menentang pasukan yang baik.

“Mereka mungkin tidak berada di Liga Perdana namun mereka bertarung untuk mara ke sana,” katanya.

Kekalahan kepada Arsenal menyaksikan City menambah jurang kepada pendahulu liga, Chelsea kepada lima mata dalam Liga Perdana dan akan bertemu sesama sendiri, minggu depan.

Jurulatih Middlesbrough, Aitor Karanka sebelum ini pernah bekerja di La Liga Sepanyol sebagai pembantu jurulatih kepada bekas pengurus Real Madrid, Jose Mourinho, setahun selepas Pellegrini dipecat kelab gergasi itu pada 2010.

Menentang Middlesbrough, City kehilangan pemain tengah veteran, Frank Lampard yang berdepan kecederaan pinggul ketika sesi latihan perlawanan persahabatan menentang kelab Jerman, Hamburg. – AFP/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");