Berita Hari Ini

Pencegahan unsur utama

Putrajaya: Draf akhir bagi Akta Antikeganasan (POTA) sudah dibincangkan antara Peguam Negara dan pihak pelaksana undang-undang iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ia dibentang di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, undang-undang berkenaan akan melihat bagaimana usaha pencegahan harus dimasukkan sebagai unsur utama.

“Sebelum ini, undang-undang sedia ada dibuat selepas sesuatu peristiwa itu berlaku.

“Bagaimanapun, undang-undang POTA akan melihat bagaimanakah pemantauan serta cara memperolehi maklumat bagi mencegah sebarang unsur dari Malaysia atau luar negara,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa di pejabatnya di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Alwi Ibrahim.

Katanya, POTA acuan yang digunakan dalam Akta Pencegahan Jenayah (POCA) Pindaan dan Pemerluasan 2013 dengan kuasa penahanan tidak diberikan kepada Menteri Dalam Negeri sebaliknya kepada Lembaga Pencegahan Jenayah.

Ahmad Zahid berkata, POTA juga tidak digunakan untuk lain-lain tujuan penahanan.

Menurutnya, beliau berharap undang-undang yang diperkenalkan itu mendapat sokongan daripada semua pihak terutama daripada pengamal undang-undang serta tokoh politik di dalam dan luar kerajaan.

Mengulas mengenai lawatan Dr Makio, Ahmad Zahid berkata, kunjungan itu antara lain membincangkan isu keselamatan rentas sempadan termasuk beberapa kaedah penambahbaikan aktiviti kepolisan moden.

Pada masa sama, katanya, Dr Makio menyarankan agar wujud kerjasama lebih erat di antara Kementerian Dalam Negeri dan agensi lain dengan Jabatan Keselamatan Awam dan Jabatan Keadilan di Jepun bagi memudahkan kerjasama dua hala.

Ditanya mengenai isu cadangan untuk memasukkan hukuman terhadap ibu bapa yang merotan anak mereka dalam akta baru menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001, Ahmad Zahid berkata, cadangan itu belum ‘matang’ lagi kerana ia belum diputuskan oleh Kabinet sebaliknya ia keputusan dibuat kementerian berkenaan sahaja.

Menurutnya, sebarang keputusan mengenainya perlu dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

“Justeru, jangan menggunakan isu cadangan hukuman itu sebagai polemik baru. Saya simpati dengan Datuk Seri Rohani Karim kerana beliau menjadi sasaran pihak dikenali ‘pembunuh dalam senyap’,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");