Berita Hari Ini

Penguatkuasaan Akta Pengurusan Strata diumum dalam tempoh terdekat

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi menggantikan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 akan diumum dalam masa terdekat.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-69 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan timbalannya, Datuk Halimah Mohd Sadique.

Menurut kenyataan kementerian itu, penguatkuasaan Akta 757 akan memberi impak positif dan signifikan kepada jutaan penduduk di bangunan strata yang membentuk 30 peratus daripada populasi kadar utama negara.

“Untuk menjamin keselesaan dan kesejahteraan hidup mereka (penduduk di bangunan strata), pengurusan bangunan mestilah mencapai tahap yang tinggi seperti ditetapkan termasuk melalui Akta 757,” menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat MNKT berkenaan.

Menerusi penguatkuasaan Akta 757 itu kelak, sebuah Tribunal Pengurusan Strata juga akan ditubuhkan untuk membantu menyelesaikan masalah atau pertikaian yang timbul dalam kalangan penghuni dan pihak-pihak berkepentingan dengan mudah, cepat dan murah.

Menurut kenyataan itu, untuk merealisasikan penubuhan tribunal berkenaan wujud keperluan untuk resolusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pelantikan pengerusi, timbalan pengerusi dan anggota serta kakitangannya.

Mesyuarat juga setuju agar permulaan tarikh penguatkuasaan Peraturan-peraturan Pengurusan Strata (PPS) (Penyenggaraan dan Pengurusan) adalah serentak dengan penguatkuasaa Akta 757.

Selain itu, mesyuarat hari ini sebulat suara setuju dengan pemakaian Malaysian Private Entities Reporting Standards (MPERS) sebagai asas penyediaan kewangan Pihak Pengurusan Bangunan Berstrata di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

MNKT kali ini turut setuju dengan Garis Panduan Perancangan (GPP) Pembangunan Fizikal Pulau-Pulau dan Taman Laut yang juga semakan semula ke atas Garis Panduan Panduan Perancangan Pembangunan Fizikal Pulau-Pulau yang diterbitkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia pada 1996.

GPP antara lain bertujuan membantu kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta pemaju mengurus, mengawal dan membangunkan kawasan pulau dari aspek peletakan, kepadatan serta aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");