Isu Panas

Undang-undang tak halang PAS dan UMNO bentuk kerajaan campuran di Kelantan

Tidak ada sebarang halangan dari seri perundangan untuk PAS dan UMNO (BN) membentuk kerajaan campuran di Kelantan.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata ia bagaimanapun bergantung pada persetujuan pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

“Dalam parti masing-masing, saya jangka akan ada ketidaksetujuan. Sebab itu kita kena tengok dahulu, adakah Umno setuju untuk bergabung dengan PAS di Kelantan? Itu akan jadi isu tapi secara teori, tiada masalah dan tiada kekangan undang-undang,” katanya.

Sinar melaporkan beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas saranan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub supaya PAS dan UMNO membentuk kerajaan campuran di Kelantan bagi memastikan kelancaran usaha pembinaan semula negeri itu dari segi prasarana, ekonomi dan kebajikan rakyat yang terjejas akibat banjir minggu lalu.

Menurutnya, walaupun perkara itu agak janggal memandangkan PAS dan UMNO diketahui mempunyai percanggahan dari segi ideologi selain seteru kuat dalam politik, saranan itu tidak mustahil direalisasikan jika ia diperhalusi selain kesanggupan kedua-dua belah pihak untuk berlapang dada demi rakyat dan negeri.

“Seperti kebiasaannya selepas pilihan raya, parti menang majoriti di peringkat Dun berhak melantik menteri besar. Tetapi jika PAS tidak mahu negerinya ada pembangkang, mereka boleh ajak UMNO bersama-sama dalam kerajaan negeri dengan melantik Adun UMNO sebagai Exco dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, walaupun Kelantan pada masa ini diperintah kerajaan PAS, tiada masalah dari segi pentadbiran bekerjasama dengan UMNO.

“Saya melihat jika kerajaan campuran ini berjaya dibentuk, penyaluran wang untuk pembangunan Kelantan akan jadi lebih mudah walaupun menteri besar daripada PAS.

“Pastinya sumbangan dan penyaluran kewangan daripada Kerajaan Persekutuan lebih mudah kerana Kelantan membentuk kerajaan campuran dengan UMNO, jadi tiada lagi alasan yang mungkin sering digunakan sebelum ini.

“(Kerajaan campuran) ini mungkin bermanfaat demi masa depan Kelantan, kerana kalau ikutkan kerosakan dan kemusnahan di negeri itu, tidak akan mampu dibangunkan semula dalam tempoh yang singkat,” katanya.-2/1/2015-agendadaily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");