Berita Hari Ini

Visa percuma tarik pelancong

Kuala Lumpur: Langkah kerajaan memberikan visa percuma (VFF) kepada pelancong asing dilihat mampu merealisasikan sasaran kedatangan pelancong sebanyak 29.4 juta tahun ini.

Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra) Datuk Syed Mohd Razif Syed Yassin Al Yahya berkata, industri pelancongan perlu membantu kerajaan dengan memperbanyakkan promosi bagi menambah bilangan kedatangan pelancong asing.

“Visa percuma itu dapat merancakkan ekonomi negara. Inilah masa untuk industri pelancongan membantu kerajaan menambah pendapatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman penawaran VFF yang dibuat dalam perutusan khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkenaan perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara.

Najib berkata, pemberian visa secara percuma kepada pelancong antaranya dari China sebahagian daripada tindakan dalam strategi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang, inklusif dan mampan.

Menurut Syed Mohd Razif, langkah itu juga penyelesaian terbaik bagi menarik semula pelancong China selepas berkurangan berikutan insiden kehilangan pesawat MH370.

Menurut laman sesawang Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, pada tahun lalu jumlah pelancong dari China mencatatkan penurunan 11.2 peratus iaitu 1.38 juta berbanding 1.56 juta pada 2013 bagi tempoh Januari hingga Oktober.

Beliau turut meminta semua agensi kerajaan khususnya Jabatan Imigresen meningkatkan tahap penyeliaan kemasukan pelancong bagi memantau serta memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) Hamzah Rahmat melihat langkah itu menyerlahkan potensi Malaysia sebagai destinasi pelancongan tumpuan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri tepat pada masanya, namun kerajaan tidak boleh abaikan hal ehwal keselamatan terutama berkaitan kedatangan pelancong asing ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan itu juga dapat meningkatkan hubungan antara Malaysia dengan negara lain termasuk dengan China dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");