Sukan Hari Ini

Bukan cara kita

Alor Setar: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak akan teragak-agak mengikut langkah Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penyokongnya yang didapati melakukan aktiviti tidak sopan sewaktu menyaksikan perlawanan sepanjang musim Liga Malaysia ini.

Presiden Datuk Seri Mukriz Mahathir berkata, beliau amat tidak setuju dengan tindakan segelintir penyokong Johor Darul Ta’zim (Johor DT) memperagakan kain rentang dengan individu berkepala anjing memakai kot FAM pada perlawanan Piala Sumbangsih antara pasukan itu dengan Pahang di Stadium Larkin, Sabtu lalu.

Katanya, perbuatan itu bukan saja tidak mencerminkan budaya masyarakat negara ini, malah ia mungkin sesuatu diusahakan pihak tertentu yang sengaja mahu menimbulkan kekecohan.

“Perbuatan itu sungguh tidak sopan dan itu bukan budaya kita. Kita tidak tahu dari mana datang budaya sebegitu dan kalau dilihat pada caranya, ia mungkin sesuatu yang diusahakan.

“Dalam hal sebegini saya yakin mungkin 99.9 peratus penyokong kita (Helang Merah) menyokong dengan ikhlas dan ada segelintir kecil menimbulkan ketegangan seperti bergaduh.

“Justeru, kita akan kenal pasti kerana ada kamera dipasang dalam stadium dan andai ada bukti kukuh, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas seperti Johor DT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyampaian ganjaran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17 2014 dan pelancaran Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kehormat KFA Aminuddin Omar dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah Muhamad Mahazi Ibrahim.

Menurut Mukhriz, majlis itu diadakan bagi memberi galakan kepada semua atlet dalam pelbagai acara sukan khususnya yang mengharumkan nama Kedah pada SUKMA tahun lalu.

“Majlis ini juga sebagai menunaikan janji kita untuk mengiktiraf dan menghargai semua tokoh dan ikon sukan yang banyak berjasa kepada negeri ini, sekali gus menjadikan teladan kepada bakal atlet atau tunas sukan yang digilap di pelbagai peringkat.

“Justeru, bagi menghidupkan kembali suasana sukan Kedah, kita lancarkan Liga Bolasepak Menteri Besar untuk pasukan bawah 19 tahun di peringkat daerah,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");