KUALA LUMPUR: Prolintas akan menawarkan diskaun tol sebanyak 20 peratus kepada semua pengguna lebuh raya kendaliannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 6 pagi 19 Februari hingga 6 pagi keesokannya (20 Februari).
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Zainudin A. Kadir berkata, diskaun berkenaan ditawar kepada pengguna kenderaan kelas 1 yang membuat bayaran tol secara elektronik (ETC) di lorong Touch ‘n Go atau SmartTAG di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) serta Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).
“Diskaun ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memberi nilai tambah kepada pengguna lebuh raya dan penggalakan penggunaan ETC untuk perjalanan yang lebih cepat dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, pengedaran pek limau di ketiga-tiga lebuh raya yang berlangsung selama dua hari bermula 17 Feb depan juga sebagai tanda penghargaan kepada pengguna lebuh raya berkenaan yang menjadikan AKLEH, GCE dan LKSA laluan pilihan mereka.
Orang ramai boleh mengikuti maklumat trafik Prolintas terkini di Twitter AKLEHtrafik, GCEtrafik dan LKSAtrafik atau layari laman web www.prolintas.com.my. – BERNAMA