NAMA pengacara TV dan penyampai radio popular, Fara Fauzana bukan lagi asing dalam dunia hiburan tempatan malah tidak dinafikan dirinya juga telah memiliki kelasnya yang tersendiri.
Beberapa tahun dinobatkan sebagai pemenang kategori pengacara dan penyampai popular jelas membuktikan kedudukannya sebagai selebriti begitu kukuh.
Jika diselak semula perjalanan kariernya, pengacara yang lebih mesra di sapa Fafau ini tidak pernah mengecewakan malah tugas yang pernah dipertanggungjawabkan sebelum ini seperti Melodi, Nona, Res’Q dan beberapa program lain digalas dengan baik.
Maka tidak hairanlah jika namanya turut menjadi pilihan utama mengisi kekosongan program Muzik Muzik 30 menggantikan pengacara terdahulu Scha Alyahya.
Tidak pernah menghiraukan tanggapan sesetengah yang menganggap dirinya seperti sebiji bola yang disepak ke sana ke mari, Fafau yakin pertaruhannya mengacara pelbagai program bakal membuahkan hasil yang setimpal.
“Saya seorang yang sentiasa positif dan jika sebaliknya, mungkin saya tidak akan ke mana. Apa sahaja tanggapan negatif yang dilemparkan, saya akan cuba menilainya dari sudut yang lebih positif.
“Kalau ada yang berkata saya seperti bola, saya memang tidak nampak dan tidak terfikir mengenainya.
“Dalam karier, saya cuba lakukan kepelbagaian dengan mencuba pelbagai program, lagi pun saya memang suka mencuba sesuatu yang baharu. Jadi bagi saya tidak timbul itu,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai tugas terbaharunya itu, Fafau menganggap ia sebagai satu penghormatan yang besar memandangkan Muzik Muzik 30 bukanlah program biasa.
“Alhamdulillah, kebetulan kontrak 3 tahun bersama Nona telah tamat dan saya terus ditawarkan untuk bersama Muzik Muzik 30.
“Sebagai penyampai radio, tugas ini juga tidak lari jauh kerana ia fokus pada muzik dan lebih buat saya yakin apabila digandingkan sekali lagi bersama AG di mana kami turut bersama di Hot FM.
“Saya anggap ini sebagai satu penghargaan dan pada masa yang sama ia juga peluang untuk saya mempelbagaikan lagi karier sebagai pengacara,” ujarnya.
Tunggu calon sesuai
Selain karier, wanita berusia 35 tahun ini juga tidak pernah terlepas daripada soal peribadinya. Mengakui dirinya kini lebih serius memikirkan masa depannya, Fafau bagaimanapun tidak mahu terburu-buru menemui teman hidupnya.
“Sekarang memang saya sedang mengenali namun buat masa ini jejaka yang betul-betul sesuai masih belum ada. Setiap tahun saya berusaha, berdoa dan akhirnya berserah kepada Tuhan. Kalau sebelum ini saya terlalu memikirkan bila ada yang bertanya soal itu, tapi sekarang saya lebih tenang.
“Apa yang berlaku itu semuanya kehendak dan perancangan ALLAH untuk kita. Bagi saya, kalau kita tidak ditentukan dengan mana-mana lelaki atau perempuan bererti kita ini adalah untuk menjaga ibu bapa sehinggalah ke akhir hayat kita dan saya rasa patut berbangga dengan diri saya,” ujarnya.
Pada masa yang saya, Fafau tidak menolak kemungkinan kesibukannya menjalani karier adalah antara faktor dirinya tidak memiliki ruang untuk bercinta.
“Alhamdulillah, keluarga amat memahami situasi saya dan mereka tidak pernah mendesak atau beri tekanan kepada saya,” katanya sambil tersenyum.
-sinar harian