Sukan Hari Ini

Harimau Kumbang kurang menyengat?

GEORGETOWN: Selepas tiga perlawanan Liga Perdana musim ini Pulau Pinang dilihat masih ‘terkial-kial’ dengan Ketua Jurulatihnya, Jacksen F. Tiago menyifatkan anak buahnya bermain dalam keadaan tertekan.

Beliau berkata, strategi permainan dan gerakan serangan telah diatur kemas malangnya ia tidak diterjemahkan dalam menghasilkan keputusan membanggakan ketika bertemu lawan di gelanggang.

“Semangat berpasukan dan cubaan membuat jaringan ada tetapi sentuhan akhir kurang menjadi mungkin mereka (pemain) meletakkan tekanan dalam diri masing-masing.

“Pelan permainan berubah selepas 20 minit perlawanan itu yang jadi persoalan, mereka mula hilang kawalan bola. Semasa latihan situasinya lain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang PKNS FC di sini malam tadi.

Dalam perlawanan itu Pulau Pinang menang tipis 1-0 hasil sepakan penalti pemain import, Beto Goncalves pada minit ke-44 dan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengahnya Muhammad Redzuan Mohd Suhaidi dilayang kad merah pada minit ke-84.

Perlawanan pembukaan menentang Kuantan FA di laman sendiri pada 6 Februari lepas juga menyaksikan kemenangan Skuad Harimau Kumbang dengan jaringan gol sendiri oleh pasukan lawan 1-0 selain selain keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan T-Team, 13 Februari lepas.

Tiago menggesa pemain mempamer aksi dengan sepenuh potensi yang ada pada mereka dan bertindak kreatif mencipta ruang dan peluang untuk meletakkan kedudukan skuad itu di hadapan.

Menyentuh mengenai perancangan perlawanan akan datang beliau meminta anak buahnya lebih tenang dan menikmati perlawanan tanpa membiarkan diri mereka dikuasai tekanan di samping fokus dengan matlamat pasukan. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");