Jenayah

Hilang dalam asap

Ipoh: “Ibu hanya sempat menjerit memanggil nama saya beberapa kali dan menyuruh menyelamatkan adik-beradik yang lain,” kata Siti Nur Ayu Jamal, 17, anak kepada seorang ahli perniagaan Norhashimah Mohd Ismail, 48, yang meninggal dunia akibat sesak nafas terhidu asap kebakaran dalam kejadian di Jalan Greentown, Greentown Nova, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, rumah kedai tiga tingkat yang dihuni mangsa bersama empat anaknya tiba-tiba terbakar.

Tingkat bawah bangunan itu menempatkan kedai jualan pakaian milik mangsa, manakala tingkat dua tempat tinggal pekerjanya.

Seramai 13 pekerja termasuk seorang anak saudaranya yang tinggal di tingkat dua berjaya menyelamatkan diri.

Siti Nur Ayu turut cedera di tangan kanan dan terpaksa menerima 10 jahitan akibat terkena serpihan kaca ketika cuba memecahkan cermin tingkap untuk menyelamatkan diri bersama tiga adiknya.

Selain Norhashimah dan Siti Nur Ayu, tiga lagi anaknya Afiq Akmal, 12, termasuk pasangan kembar Luqman Nur Hakim dan Luqman Nurhazim, berusia sembilan tahun berada di tingkat sama, namun berjaya keluar melalui pintu lain bersama kakaknya.

Menurut Siti Nur Ayu, dia terjaga daripada tidur selepas terhidu asap dan terus keluar ke bilik ibunya yang bersebelahan.

Katanya, dia yang terkejut melihat asap yang agak banyak di bilik berkenaan bergegas mengejutkan ibunya yang masih nyenyak tidur bersama tiga adiknya.

“Selepas mendapatkan kunci yang digantung di bilik berkenaan, ibu dan saya berlari membuka pintu jeriji pintu utama di luar bilik.

“Ibu kemudian mengarahkan saya menyelamatkan adik-adik terlebih dulu dengan membawa mereka ke pintu kedua yang mahu ibu buka.

“Saya ke bilik ibu dan membawa adik-adik, namun ketika kembali ke pintu utama tadi saya tidak dapat melihat kelibat ibu lagi mahu pun pintu kedua yang mahu dibuka ibu kerana asap terlalu tebal,” katanya sebak.

Siti Nur Ayu berkata, dia terpaksa memecahkan tingkap bilik berkenaan kerana mahu melompat keluar menyelamatkan diri, namun belum sempat dia berbuat demikian seorang pekerja memaklumkan satu lagi pintu sudah berjaya dibuka.

“Saya cuba patah balik selepas terdengar suara ibu memanggil nama saya sebanyak dua kali, namun tidak dapat masuk semula kerana asap terlalu tebal,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di sini semalam.

Sementara itu, bapa Siti Nur Ayu, Jamal Bugal, 54, dan seorang lagi adiknya, Muhd Affan, 14, berada di Selayang, Kuala Lumpur ketika kejadian kerana mengusahakan kantin sekolah di sana.

Menurut Jamal, dia cemas sebaik dimaklumkan mengenai kejadian oleh seorang saudara yang juga tinggal di bangunan sama kira-kira jam 5.30 pagi.

“Kali terakhir saya berjumpa isteri di sini minggu lalu. Malam tadi (kelmarin) saya cuba menghubunginya, tetapi isteri tidak angkat telefon dan saya mengandaikan isteri kepenatan kerana baru pulang dari Cameron Highlands bersama tiga anak lelaki dan seorang pemandu kerana kami juga ada sebuah restoran di sana,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");