Berita Hari Ini

Hormati sumbangan bangsa lain untuk kukuh perpaduan – Shafie Apdal

SEMPORNA: Menghormati bangsa lain dan menghargai sumbangan mereka perlu ditekankan dalam usaha memupuk perpaduan rakyat negara ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kita hormati bangsa lain dan hargai sumbangan mereka kerana ia penting dalam memupuk perpaduan. Toleransi antara kaum perlu kita tingkatkan dalam keadaan dunia semakin mencabar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Jamuan Malam Bersama Masyarakat Cina peringkat Parlimen Semporna di sini, malam tadi.

Shafie, yang juga Anggota Parlimen Semporna, berkata kelebihan negara ini yang rakyatnya berbagai kaum dan agama harus dimanfaatkan untuk sama-sama memainkan peranan membangunkan negara.

Katanya perbezaan bangsa dan agama jangan pula dijadikan faktor untuk menjauhkan diri antara satu sama lain, sebaliknya harus diletakkan sebagai amalan, untuk menghormati kehidupan mereka.

Menurutnya kekacauan yang berlaku di negara lain harus dijadikan iktibar yang menunjukkan tanpa keamanan di sesebuah negara, rakyat tidak akan dapat hidup dalam keadaan sejahtera.

Mohd Shafie turut mengajak rakyat menolak cubaan pihak tertentu menghambur isu perkauman dan menggalakkan kegiatan ekstrem.

Beliau berkata keadaan negara yang aman dan rakyat hidup dalam suasana harmoni serta bersatu padu harus dikekal dan diperkukuhkan lagi.

“Kalau ada pihak pelampau cuba meniup sentimen perkauman, bukan hanya jangan babitkan diri tapi kita harus menolak perbuatan mereka yang akan menjurus kepada perpecahan dan perbalahan serta akan menyebabkan kemunduran ekonomi negara,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");