BAU: Sejumlah RM200 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, termasuk untuk menampung kos pembinaan dan baik pulih rumah yang terjejas, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah, di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kejayaan Kerajaan Sarawak mengekalkan kesejahteraan melayakkan negeri itu menjadi negeri contoh di negara ini.
Beliau berkata, kejayaan itu dicapai menerusi tiga perkara utama iaitu kemantapan ekonomi, kestabilan politik dan perpaduan rakyat.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak melaksanakan usaha berterusan untuk memastikan ekonomi terus berkembang dan kini ia sudah berjaya dicapai khususnya dalam pembangunan pesat Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Sarawak juga berjaya mengekalkan kestabilan politik dan ini memastikan kerajaan yang dipilih rakyat dapat memerintah dengan baik.
“Prasyarat ketiga menjadikan Sarawak sebagai negeri contoh ialah perpaduan rakyatnya yang berbilang kaum,” katanya.
Muhyiddin berkata, rakyat Sarawak harus sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk mempertahankan tiga prasyarat yang menjadikan Sarawak sebagai negeri terbaik itu.-berita harian