Jenayah

Mayat tercampak atas bumbung

Alor Setar: Seorang pelajar tidak sempat menjamah makanan selepas motosikal ditungganginya dirempuh kereta mewah mengakibatkan mangsa tercampak di atas bumbung kedai runcit dalam kejadian di Batu 3, Jalan Alor Setar-Sungai Petani, Tandop di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa Mohamad Azrul Abdul Razak, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Mohd Saman di sini, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Difahamkan, mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda dikatakan mahu ke kedai berhampiran membeli makanan sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Abang mangsa, Mohd Bakri, 30, berkata, adiknya keluar rumah untuk membeli makanan di kedai berhampiran kerana lapar walaupun sudah awal pagi.

“Arwah anak bongsu daripada empat beradik menunggang motosikal seorang diri untuk membeli makanan.

“Yang menyedihkan arwah tidak sempat menjamah makanan apabila terbabit dalam kemalangan itu.

“Kebiasaan arwah pergi ke kedai itu membeli makanan jika lapar, tetapi pagi tadi (semalam) nasibnya kurang baik apabila dirempuh kereta menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah bulan lalu dan dia seperti biasa tidak menunjukkan sebarang perubahan kerana arwah seorang yang ceria dan manja,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Telok Bagan, semalam.

Sementara itu, pemilik kedai runcit Shah Ali Jamal, 43, berkata, dia terkejut dimaklumkan penduduk arwah tercampak di bumbung kedainya ketika mahu menunaikan solat Subuh di Masjid Tandop, kira-kira jam 6 pagi.

“Sepanjang berniaga sejak 20 tahun lalu, saya tidak pernah mengalami kejadian mengerikan apabila mayat ditemui di atas bumbung,” katanya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja Salim Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.34 pagi dan bergegas ke lokasi bersama lima anggota.

“Pihak hospital memaklumkan pihaknya memerlukan bantuan untuk menurunkan mangsa kemalangan yang tercampak di atas bumbung sebuah kedai,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Md Jan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dikatakan cuba menyeberangi jalan ke arah Alor Setar-Sungai Petani.

“Ketika cuba memasuki laluan itu, kereta jenis BMW merempuh mangsa menyebabkannya tercampak setinggi tiga meter di atas bumbung kedai runcit berkenaan. Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah, Telok Bagan selepas solat Zuhur, semalam.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");