Isu Panas

MIC: Saya mungkin akan bertanding jawatan lebih tinggi – M Saravanan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan hari ini memberi bayangan kemungkinan untuk bertanding jawatan lebih tinggi pada pemilihan semula MIC, Jun depan.

Ketika ditemui media di Batu Caves, sebentar tadi, Saravanan bagaimanapun berkata, keputusan itu hanya akan dimuktamadkan jika mendapat majoriti mandat dari ahli parti.

“Kalau penyokong saya mahu saya bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden MIC, mungkin saya akan buat nanti.

“Sekarang ini saya tidak putuskan lagi.. tunggulah nanti. Tapi saya akan bertanding pada pemilihan semula nanti,” katanya yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Ditanya mengenai komen Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menyatakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengalu-alukan keputusan Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel untuk mengadakan pemilihan semula di semua jawatan, Saravanan berkata secara peribadi, beliau juga bersetuju kaedah itu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pemilihan semula semua jawatan bukanlah satu proses yang mudah, sebaiknya juga perlu mendapat mandat dan sokongan daripada ahli akar umbi.

“Saya sendiri bersetuju pemilihan semula.. ia akan selesaikan semua masalah yang berlaku dalam parti, tapi ia bukan senang, prosedurnya juga kena betul.

“Kalau ikut perlembagaan, pemilihan parti ini berkait dengan soal mandat (ahli parti).. kena serah kepada ahli, sebab sekarang kepemimpinan yang ada diberi mandat dari 2013-2016, apabila kita minta mandat baru, ahli juga kena buat keputusan,” katanya.

Mandat dari ahli itu jelas Saravanan termasuk mahu mengadakan semula pemilihan di semua peringkat, pemilihan sebahagian jawatan seperti arahan ROS atau kekalkan kepemimpinan sedia ada.

Mengulas sama ada perbincangan mengenai kemelut MIC ini diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membuat kunjungan mesra di Batu Caves, pagi tadi, beliau berkata ia sama sekali tidak disentuh.

“Tidak ada, kita hari ini sambut raya.. tiada isu-isu politik kita bincang,” katanya turut memaklumkan ketidakhadiran Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam di Batu Caves hari ini adalah kerana beliau sibuk menguruskan hal perkahwinan anaknya dan tiada kaitan dengan kemelut MIC.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");