Membawang Hari Ini

Munif tidak lupa Hijjaz

SUATU ketika dulu, Hijjaz berjaya mencapai zaman kegemilangannya sekali gus meletakkan nama mereka sebaris dengan nama kumpulan nasyid popular yang lain seperti Raihan, Rabbani dan Brothers.

Sedangkan laut ada pasang surutnya dan selari dengan peredaran masa, zaman kegemilangan nasyid juga semakin pudar dan itu juga yang dialami oleh Hijjaz.

Meskipun nama Hijjaz kini dilihat seakan-akan semakin menyepi dari industri hiburan tanah air, namun vokalis utamanya, Muniff Ahmad tidak berpendapat sedemikian.

Kata penyanyi berusia 40 tahun itu, ‘kesepian’ itu mungkin dilihat kerana kurangnya populariti yang diterima selain mereka yang kini lebih selesa berada di belakang tabir.

“Hijjaz masih lagi aktif. Kami masih lagi menghasilkan album dan menjayakan undangan persembahan,” katanya kepada Zass.

Jelas Munif, Hijjaz yang dianggotai Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim kini lebih selesa menjalankan perniagaan masing-masing dalam menjamin keselesaan hidup pada masa depan.

“Masing-masing mempunyai minat yang berbeza, jadi kami lebih mudah bergerak sendiri.

“Kalau nak hidup lebih selesa, kami tak boleh bergantung pendapatan kepada bidang nyanyian semata-mata, kena ada usaha lain.

“Tetapi, walau apa sekalipun, kami tetap akan berkumpul jika ada perkara yang membabitkan Hijjaz. Sudah 17 tahun kami bersama baik ketika senang mahupun susah,” katanya.

Berkongsi perkembangan baharu Hijjaz, Munif memberitahu, kumpulannya itu akan tampil dengan album baharu Hijjaz yang ke-20, Selawat Nabi siri kedua pada Mac depan.

“Proses rakaman sudah siap sepenuhnya, tinggal hanya untuk dipasarkan,” katanya.

Selain itu, kata Munif, Hijjaz juga bakal terlibat dengan misi kemanusiaan musim sejuk di Syria dan akan bertolak ke sana pada 25 Februari ini.

“Pemergian kami ke sana bertujuan untuk menghantar misi bantuan kecemasan yang bernilai RM1 juta berupa projek pendidikan, saluran air kepada penduduk, keperluan sokongan, selimut dan pelbagai lagi.

“Selain kami, artis lain yang akan turut serta ialah Yatt Hamzah, Ali XPDC, Heliza Helmi dan wakil delegasi Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sendiri,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tabungsyria.com.

Buka restoran ala Hard Rock

Dalam pada itu, selain menyanyi, Munif kini turut rancak mengembangkan empayar sebagai tauke minyak wangi selain menubuhkan syarikat rakaman sendiri, MH Pro.

Bagaimanapun, secara diam-diam masih ada lagi niat yang terpendam jauh di lubuk hati anak kelahiran Pontian, Johor ini.

“Sebenarnya, saya bercita-cita untuk membuka sebuah restoran ekoran minat mendalam dalam bidang memasak.

“Sebelum ini, sekiranya saya membuat majlis kecil-kecilan di rumah seperti mengadakan rumah terbuka ataupun kenduri, sayalah tukang masaknya.

“Kiranya ini adalah niat terpendam sejak empat tahun lalu. Tambahan pula, saya memang suka memasak dan makan,” katanya.

Namun begitu, keinginannya itu terpaksa ditangguhkan seketika berikutan terdapat beberapa halangan lain.

“Sebaik pulang dari menunaikan Umrah pada 2009, saya hampir-hampir membuka restoran.

“Tetapi, setelah dinasihati seorang rakan, saya tidak jadi membukanya kerana tidak mampu untuk memberikan perhatian sepenuhnya.

“Justeru, saya tangguhkan seketika niat untuk membuka restoran kerana takut tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya,” kata pemilik Restoran Munif Hijjaz D’Greenwood itu.

Mengenai restorannya yang beroperasi di Greenwood, Gombak, Munif memberitahu, ia berkonsepkan ala Hard Rock Cafe namun bercirikan Islamik.

Katanya, restoran miliknya itu menyediakan hidangan istimewa Nasi Arab Al-Qassam yang terdiri daripada Nasi Arab Mandy yang mana chefnya didatangkan khas dari Syria selain boleh menikmati aneka juadah lazat Barat serta masakan Thai.

Bukan itu saja, restoran yang dibuka setiap hari dari jam 2 petang hingga 2 pagi itu turut menawarkan program hiburan berbentuk ketuhanan setiap hujung minggu.

“Sejak di awal penubuhan restoran ini lagi, saya mahu menjadikan premis ini sebagai landasan kepada penggiat nasyid tanah air mengembangkan nama, seterusnya mendekati peminat menerusi persembahan pada malam minggu.

“Tambahan pula, terdapat ruang yang agak selesa disediakan khas buat mereka yang berminat.

“Terdapat pentas Night Live Show pada hujung minggu yang memberi ruang kepada artis nasyid sama ada yang baharu mahupun lama membuat persembahan secara percuma,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");