Membawang Hari Ini

Nabil Ahmad puji kecomelan anak Che Ta

KUALA LUMPUR: Mungkin jika di luar negara Suri Cruise yang juga anak kepada Tom Cruise dan Katie Holmes dipuja kerana kecomelan serta dianggap kanak-kanak tercantik, di Malaysia pula Aaisyah Dhia Rana, anak kepada pasangan Zain Saidin dan Rozita Che Wan antara yang digilai masa kini.

Bayangkan gambar yang dimuat naik Rozita atau Zain sendiri di laman Instagram milik mereka akan mendapat ‘like’ yang banyak hingga puluhan ribu berbanding gambar mereka sendiri.

Aaisyah nyata mencipta fenomena tersendiri sehingga menjadi anak selebriti popular.

Tidak hairanlah, Nabil Ahmad yang ditemui semalam di sebuah hotel di ibu kota, mengakui Aaisyah antara bayi paling comel pernah beliau lihat.

“Memang tak boleh dinafikan lagi Aaisyah memang sangat comel. Sumpah! dia memang comel ‘gila’. Dalam ramai bayi yang saya pernah lihat, comel dia memang lain macam,” katanya kepada BH Online.

Keterujaan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2008 itu ada kaitan dengan dirinya yang akan menimang cahaya mata kedua hasil perkongsian hidupnya dengan Nazirah Ayub. Anak sulung mereka bernama Naira Mikayla yang berusia dua tahun dua bulan.

Anak kedua Nabil dijangka lahir pada 18 Mac depan dan sama jantina seperti anak sulung. Ketika ini, Nabil dan isterinya tengah pilih nama yang sesuai untuk bakal anak mereka.

“Kami akan mengekalkan nama Naira gabungan nama saya dan isteri (Nabil dan Zira). Seperti anak pertama, anak kedua yang bakal lahir nanti juga akan melalui proses pembedahan. Ikutkan nak lahir secara normal tapi takut saya sibuk dengan rutin seni.

“Jadi biar secara pembedahan dan saya boleh rancang cuti. Saya hanya akan cuti pada 17 hingga 19 Mac saja.

“Pada 20 Mac ini saya sudah ada komitmen program siaran langsung. Jadual seni saya pun padat hingga Mei depan,” katanya yang akan terbabit dengan sebuah filem dan mengacarakan program Meletop serta Ini Malam Kita Punya.

Baru-baru ini, Nabil memenangi tempat ketiga untuk pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) dan menerima wang tunai RM150,000 serta trofi.

Nabil juga sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai lagi pertandingan yang sama pada masa mendatang.

“Tapi saya tidak bersara daripada terus berlawak. Hanya bersara daripada menyertai MLM. Saya juga dalam peringkat merancang menghasilkan pertandingan realiti mencari pelawak stand up comedy. Berkemungkinan besar nama program ini ialah Malaysia’s Stand Up Comedy.

“Di Indonesia dan Filipina sudah ada pertandingan seumpama itu. Jadi kenapa tidak kita wujudkan di Malaysia. Sebenarnya sudah disenaraikan pendek 10 peserta yang bakal menyertai pertandingan itu.

“Ada di antara mereka yang pernah menyertai pertandingan lawak popular sebelum ini. Saya mungkin akan menggalas tugas sebagai pengacara dan juri. Saya juga sudah mendekati Harith Iskander dan Douglas Lim untuk dilamar sebagai juri,” katanya sambil memberitahu pertandingan ini akan bersiaran di Astro cuma belum dapat dipastikan lagi bila tarikh siaran.

Nabil dalam perkembangan lain akan mengacarakan Anugerah Meletop ERA kali kedua pada 22 Februari di Stadium Putra Bukit Jalil. Majlis penganugerahan tahun ini membawa tema ‘Yang Hit, Yang Legend’.

Malam kemuncak ini bakal turut menyaksikan empat lagi pengacara iaitu Datuk AC Mizal, Neelofa, Zizan dan Johan berganding bahu dengan Nabil.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");