Perak Hari Ini

PMG Perak 2015 Platform Lahir Generasi Mahasiswa Berilmu

IPOH: Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) baru-baru ini menganjurkan Perkampungan Menara Gading (PMG) peringkat negeri Perak bertempat di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), dekat Kuala Kangsar.

PMG Perak ini merupakan program tahunan KPIP khusus untuk pelajar-pelajar yang bakal bergelar mahasiswa.

Program ini memberi pendedahan awal berhubung cabaran yang akan ditempuhi sepanjang berada di kampus dan membina jati diri yang kukuh agar tidak terikut dengan arus negatif seperti gejala sosial.

Dengan tema “Menuju Puncak Keilmuan, Menjana Kegemilangan Peribadi”, seramai 70 urusetia dan fasilitator PMG Perak yang merupakan mahasiswa UIAM, UiTM, UM, UniSZA,USIM, USM, KUISAS dan Politeknik Ungku Omar mengambil bahagian dalam program tersebut.

Mereka merupakan ahli KPIP yang sanggup meluangkan masa cuti semester untuk menyumbang kepada masyarakat.

Seramai 150 pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM yang menuntut di beberapa sekolah sekitar Kuala Kangsar menyertai PMG itu antaranya Sekolah Izzudin Shah, Sekolah Raja Perempuan Taayah, SM Sains Raja Tun Azlan Shah, SMKA Sultan Azlan Shah, SMKA Kerian, Madrasah Idrisiah, SMK Tun Perak dan SABK Maahad Khair Lil Banat.

Bagi melahirkan mahasiswa ideal, pihak urusetia KPIP telah menyediakan pelbagai aktiviti dan modul seperti Forum, Explorace dan Slot ILMUWAN berteraskan konsep Latihan Dinamika Kumpulan.

Selain itu, PMG Perak pada tahun ini juga menampilkan sedikit kelainan dengan menganjurkan karnival universiti yang bertujuan memberi pendedahan dan penerangan ringkas kepada para peserta tentang jurusan dan universiti yang mereka minati.

Secara zahirnya program karnival universiti ini dapat memberikan pendedahan yang jelas kepada peserta kerana segala bentuk penerangan disampaikan sendiri oleh pelajar unversiti tersebut.

Rata-rata peserta yang ditemui menyambut baik program anjuran KPIP itu.

Menurut Nur Fauzah Azlin, beliau berpeluang mendengar perkongsian pengalaman daripada fasilitator sebagai persediaan melangkah ke IPT.

Bekas pelajar dari SMK Bukit Merchu itu cukup gembira kerana dapat berkenalan dengan peserta lain menerusi program tersebut.

“Alhamdulillah, saya berpeluang menyertai PMG Perak 2015 yang mana perkongsian intipati program ini telah memberikan saya sedikit sebanyak gambaran suasana dan persediaan untuk ke IPT nanti.

“Selain itu, saya juga dapat berkenalan dengan ramai pelajar dari sekolah lain serta menjalinkan ukhwah sesama mereka.

“Pengisian kerohanian juga amat menarik seperti solat berjemaah, membaca surah Al-Mulk beramai-ramai serta membaca Al-Mathurat,” katanya lagi.

Beliau juga katanya, tidak boleh tidak boleh menjadi mahasiswa 3K iaitu mahasiswa yang hanya tahu ke kuliah, kafe, dan katil tetapi tidak cakna atau peka tentang isu semasa.

“Insya-Allah segala pesanan dan ilmu yang saya peroleh dari PMG ini akan saya praktikkan,” katanya.

Sementara itu, menurut Nur Fatinah Zulkelnain, program terbabit memberi banyak faedah kepada peserta.

“Terima kasih kepada pihak penganjur kerana menganjurkan program seperti ini yang memberi pelbagai manfaat kepada lepasan SPM seperti saya.

“Program ini memberi pelbagai input tentang suasana dan dorongan ke universiti. LDK seperti ini dapat memberi sikap bekerjasama antara kumpulan selain dapat juga menyuntik semangat yang positif kepada peserta,” jelas bekas pelajar Sekolah Perempuan Taayah itu lagi.

Majlis penutup dihadiri Yang Dipertua Kesatuan Pelajar Islam Perak, Ustaz Khairil Amri Abdul Rahman; Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Muhammad Khair Sujud dan Dekan Fakulti Pengurusan KUISAS, Dr Anas Tajuddin.

PMG Perak 2015 diakhiri dengan ucapan oleh Yang Dipertua KPIP yang memberi kata nasihat, semangat dan harapan kepada para pelajar yang akan melangkah ke menara gading.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");