Membawang Hari Ini

Puas watak jahat

Bermula dengan pemergian ibunya pada 2002 sebelum disusuli bapa setahun selepas itu, tahun berkenaan adalah episod paling sedih dalam hidup pelakon dan penyanyi Erry Putra.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dalam masa yang sama kerjaya seninya bersama kumpulan Boyz ‘R’ Us juga tidak ke mana.

Waktu itu juga dia tidak memiliki pendapatan kerana Boyz ‘R’ Us tidak menerima sebarang tawaran persembahan. Keretanya turut ditarik pihak bank manakala wang simpanannya habis hingga tiada sesen pun dalam koceknya!

“Waktu itu bukan Boyz ‘R’Us saja yang melalui zaman kegelapan, tetapi ramai artis lain turut menganggur. Ketika itu saya menyedari barangkali zaman saya sudah berlalu dan saya menerima segala ketentuan itu dengan hati terbuka.

“Kemudian tanpa rasa segan atau kekok saya memulakan hidup baru dengan bekerja di belakang tabir sebagai penolong pengarah drama,” katanya.

Erry berkata, dia mula melihat sinar di hujung terowong apabila pengarah, Kabir Bhatia menawarkan peluang berlakon dalam drama Manjalara pada 2006.

Membawa watak jahat, rezekinya dalam bidang seni cerah semula dan hingga kini dia amat serasi membawakan watak jahat.

“Saya suka dan puas dengan watak jahat kerana saya boleh melakonkannya dengan bebas. Apabila saya diberi watak baik, peminat kata saya ‘control macho’ dan lakonan seperti tak ‘real’.

“Bermula sebagai penyanyi, tetapi kini lakonan menjadi periuk nasi utama saya. Tiada masalah sama ada dikenali sebagai penyanyi atau pelakon kerana apa yang penting saya dapat meneruskan kesinambungan bakat yang ada,” katanya.

Pun begitu, menjangkau usia 36 tahun sekarang, Erry sedar dia perlu mengembangkan lagi gerak kerjanya untuk menstabilkan ekonominya.

Lantaran itu dia menubuhkan syarikat, Erry Putra Entertainment yang menampilkan artis baru di bawah labelnya iaitu Marlynn.

Sebagai penampilan awal Marlynn dalam arus perdana dunia nyanyian, Erry berduet dengannya menerusi lagu berjudul Watszup.

“Saya mengenai Marlynn ketika kami bersama-sama membuat persembahan di Ipoh dan dia mempunyai suara yang sangat bagus. Kelantangan suaranya tidak sepadan dengan tubuh comelnya,” katanya.

Berada dalam saingan yang sengit sekarang, Erry sangat menjaga disiplin kerja kerana sebagai artis komitment dan kesungguhan amat penting untuk memastikan dia terus bertahan.

“Dalam pekerjaaan apa pun, tiada petua khusus. Hanya kerja keras yang akan meletakkan diri kita di mana. Syukur,walaupun nama saya tidaklah ‘meletup’ seperti pelakon lelaki lain, tetapi tawaran berlakon tetap ada.

“Saya juga tidak terlalu ‘demand’ mengenai bayaran. Dalam bab ini kenalah pandai bertolak ansur,” katanya.

Menjadi anak seni, Erry pernah dituduh bernafsu songsang yang hampir membuatkannya melenting.

“Siapa tak marah jika difitnah macam-macam. Bagaimanapun, seiring dengan pengalaman dan kematangan, saya dapat terima segala kata nista masyarakat. Ia asam garam dunia seni dan saya tidak mampu untuk menutup mulut orang daripada terus berkata-kata mengenai saya,” katanya.

Erry juga hampir berkahwin tahun lalu, namun impiannya itu tidak menjadi kenyataan apabila keluarga si gadis tidak merestui hubungan mereka.

“Bekerja sebagai artis, keluarganya tidak yakin saya boleh menyara anak mereka. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, anggap saja kami tiada jodoh,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");