TELUK INTAN – Tujuh pekerja asing di sebuah restoran makanan laut di sini, ditahan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan dalam Ops Selera, petang Jumaat lalu.
Operasi itu diketuai oleh Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman bersama lima pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan itu berjaya menahan dua lelaki dan lima perempuan warga asing.
Khairul Anuar berkata, penahanan ketujuh-tujuh warga asing yang berusia 23 hingga 47 tahun adalah hasil risikan anggotanya selama seminggu sebelum membuat serbuan.
Menurutnya, setiba anggota dan pegawai Imigresen dari Pejabat Imigresen Teluk Intan di restoran makanan laut itu, pihaknya menunjukkan kad kuasa kepada tujuh warga asing yang sedang bekerja.
“Kami turut memeriksa dua lelaki dan lima wanita warga asing dari Indonesia, Myanmar dan Vietnam.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga asing melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.
Khairul Anuar berkata, pihaknya juga menahan pemilik restoran di bawah Seksyen 56 (1) (D) Akta Imigresen bagi bantu siasatan pihaknya, namun dilepaskan dengan jaminan polis.
Katanya, kesemua pekerja warga asing yang ditahan bekerja di tempat itu sejak setahun hingga tujuh tahun.
Menurutnya, tiga daripada tujuh warga asing telah melakukan kesalahan di bawah 56 (1) (l) Akta Imigresen iaitu mempunyai cop palsu pada dokumen perjalanan milik mereka.
Katanya, dua daripada mereka turut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen.
“Dua wanita dari Indonesia berusia 27 dan 30 tahun melakukan kesalahan dengan tinggal di negara ini lebih masa di bawah Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen.
“Kesemua warga asing ditahan reman selama dua minggu bagi membantu siasatan,” katanya.-sinar harian