Jenayah

Rompak, pukul dengan kuku kambing

KOTA BHARU – Tindakan nekad seorang tukang kasut merompak dan memukul mangsa dengan kuku kambing mengundang padah kepada dirinya sendiri apabila dihukum penjara 10 tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Ahmad Sabri Mat Noor, 27, dihukum oleh Hakim, Mohd Yusoff Yunus selepas mengaku salah merompak dan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Mohd Adnan Mat Yazid, 48, di Taman Sri Cemerlang Lorong Singer, Kolam Abu, Machang, pada jam 8.45 pagi, 14 Mei tahun lalu.

Sebelum itu, pengadu yang sedang bertugas di sebuah sekolah di Machang menerima panggilan telefon daripada anaknya di rumah dan memberitahu dia ternampak lelaki tidak dikenali iaitu tertuduh berada di dalam rumah mereka.

Pengadu kemudian pulang bersama dua kawannya. Setibanya di rumah, pengadu mendapati bilik tidur utama berselerak. Anak perempuannya berada di dalam bilik di tingkat bawah dan ternampak kelibat tertuduh naik ke tingkat atas lalu mengekorinya.

Tertuduh menyedari kehadiran pengadu dan terus menerpa serta memukulnya dengan besi kuku kambing menyebabkan dia cedera parah di kepala. Kawan-kawan pengadu mengejar tertuduh, namun lelaki itu melarikan diri, tetapi berjaya ditahan polis pada jam 8.45 malam, hari sama.

Tertuduh mengaku memandu ke tempat kejadian dan meninggalkan kereta itu lebih kurang 100 meter dari rumah mangsa. Tertuduh masuk ke rumah pengadu dengan memotong mangga dan mengumpil pintu rumah tersebut.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukumannya diringankan, namun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira rekod lampau tertuduh bersabit kesalahan pecah rumah.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");