Jenayah

Tak dapat ungkap dengan kata-kata

MACHANG- “Kali pertama buka pintu rumah selepas banjir surut, saya hanya mampu melihat dan tutup semula pintu sebelum kembali ke pusat pemindahan.

Tak boleh ungkap dengan kata-kata dan hati saya terlalu sayu,” cerita mangsa banjir, Zamilah Hassan selepas rumahnya ditenggelami air separas bumbung, baru-baru ini.

Zamilah, 52, berkata, rumah yang didiaminya sejak lahir bersama ibunya, Fatimah Kuming, 80, dipenuhi selut selain barangan kelengkapan rumah rosak dan berselerak.

Katanya, selain kelengkapan rumah, lima mesin jahit dan dua kereta miliknya turut rosak setelah gagal diselamatkan ketika banjir besar melanda, sekali gus menyebabkan dia sekeluarga mengalami kerugian besar.

“Saya tinggal berdua bersama ibu yang sudah uzur. Biarpun air surut namun kami belum dapat mencuci rumah memandangkan tiada bekalan air dan masih tinggal di pusat pemindahan.

“saya sendiri tak boleh nak bayang keadaan rumah ketika itu dan saya larang emak balik kerana bimbang dia terkejut tengok rumah kami memandangkan ini kali pertama rumah ini dinaiki air dan semua barangan musnah selain bahagian dapur rumah turut rosak,” katanya.

Kata Zamilah, hasil bantuan adik-beradik dan rakan sekerja daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), dia berjaya membersihkan bahagian dapur sebelum membawa ibunya pulang ke rumah.

Tambahnya, dia dan Fatimah tinggal di bahagian dapur sehingga ruang lain dibersihkan warga Ibu Pejabat Polis Daerah Machang yang turun padang membersihkan rumah bekas ‘homeguard’.

“Arwah ayah, Hasan Husin merupakan salah seorang bekas anggota ‘homeguard’. Dengan kelengkapan mencukupi, anggota polis berjaya bersihkan rumah ini selepas seminggu tertangguh,” katanya.

Zamilah turut berterima kasih kepada Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang sudi melawat keluarganya dan menyampaikan sumbangan.

“Sepanjang usia saya, rumah ini tidak pernah dinaiki air dan ketika kejadian bah merah 1967, air hanya naik setakat anak tangga, tak cecah lantai rumah,” katanya.

Menurut Zamilah, sekalipun belum selesai mengemas rumah, dia bersyukur kerana lumpur yang memenuhi ruang rumah berjaya dibersihkan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Shabudin Abdul Wahad dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");