Kuala Lumpur: “Saya tetap akan lawan.”
Itu pendirian Datuk Nur Azmi Ahmad yang tegas akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meskipun bertentangan dengan arahan Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman yang menasihatkan badan induk itu menggunakan perlembagaan lama sekiranya mahu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Jumaat ini.
Jelas Azmi, beliau akan pastikan perjalanan AGM berlangsung menggunakan perlembagaan baru yang sudah mendapat pengesahan bekas Pesuruhjaya Sukan sebelum ini, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
“Saya tetap lawan memandangkan perlembagaan baru sudah disahkan (bekas) Pesuruhjaya Sukan (Ahmad Shapawi).
“Kena gunakan perlembagaan baru sebab MHC sudah mendapat surat pengesahan rasmi Pesuruhjaya Sukan sebelum ini yang menggunakan logo kerajaan Malaysia,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Jelas Nur Azmi, beliau menjemput Zaiton supaya hadir sendiri ke AGM Jumaat ini untuk menerangkan apakah sebenarnya yang berlaku.
“Saya sudah maklumkan pada Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) untuk menjemput Pesuruhjaya Sukan.
“Saya nak (Zaiton) datang dan jawab soalan saya,” katanya.
Zaiton pada minggu lalu mengadakan sidang media memaklumkan pindaan perlembagaan dilakukan badan induk itu pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Johor Bahru 13 Oktober tahun lalu kurang teratur kerana tidak mencukupi korum.
Justeru, pihaknya memberi dua pilihan kepada MHC iaitu pertama, meneruskan AGM pada Jumaat ini dengan menggunakan perlembagaan lama atau mengadakan EGM untuk membincangkan pindaan perlembagaan dengan korum yang mencukupi.
Tindakan Zaiton itu susulan rujukan semula dilakukan penyandang jawatan Timbalan Presiden Raja Puan Sri Noora Ashikin Raja Abdullah apabila beliau mempersoal perjalanan EGM di Johor Bahru yang didakwanya tidak sah.
Antara yang dipersoalkan adalah mengenai jawatan Timbalan Presiden yang kini terbuka dan boleh ditandingi mana-mana individu tanpa mengikut jantina selepas pindaan perlembagaan berbanding kerusi itu eksklusif untuk wanita jika mengikut perlembagaan lama.
-Metro