Membawang Hari Ini

‘The Beast’ tonjol aksi gila Louis

BAGI anda yang suka menonton video berkaitan tempat percutian menarik yang dihasilkan oleh vlogger di YouTube, laman ‘FunForLouis’ barangkali bukan asing lagi.

Laman tersebut dikendalikan oleh pemilik nama sebenar Louis John Cole atau lebih dikenali dengan nama Louis.

Namun pada asalnya, laman tersebut diberi nama ‘FoodForLouis’, di mana ia memaparkan aksi berani mati dan ada kalanya menjijikkan apabila Louis memakan pelbagai haiwan yang masih hidup dan organ dalaman secara mentah-mentah.

Antara yang pernah dimakannya adalah katak dan kala jengking hidup, hati mentah, dan juga bebola mata seekor binatang.

Namun perbuatan lelaki berusia 32 tahun ini merakamkan aksi memakan haiwan yang masih hidup sebenarnya mendapat perhatian daripada pencinta haiwan.

Kemuncaknya pada April 2012, Louis telah memuat naik video yang menunjukkan dia memakan ikan emas yang masih hidup dan Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals (RSPCA) telah mengambil tindakan terhadapnya kerana perbuatan kejam terhadap haiwan.

Bahkan kerana itu juga, ramai pencinta haiwan menuntut hukuman mati terhadapnya. Namun Louis berpendapat, dia mengelakkan menyeksa haiwan terbabit sekiranya dia membunuh atau memasak haiwan tersebut terlebih dahulu.

“Saya tidak melihat tindakan saya memakan haiwan yang masih hidup sebagai satu tindakan kejam kerana rata-rata haiwan yang saya makan mati dalam tempoh lima saat.

“Tapi ramai orang salah sangka dan membuat tuduhan melulu. Saya seorang manusia yang mempunyai etika dan memakan haiwan juga mempunyai etikanya,” ujarnya.

Bagaimanapun sejak itu, Louis hanya memuat naik video di mana dia memakan haiwan yang sudah mati biarpun masih belum di masak dan menukar laman YouTubenya kepada nama ‘FunForLouis’.

Namun ia bukanlah halangan buat lebih 1.1 juta pengikut, menjadi pengikut setia laman YouTubenya, bahkan video yang dimuat naik Louis telah ditonton lebih 99 juta kali.

“Saya tahu masih ada yang membenci dan berharap dapat membunuh saya. Tapi saya lakukan video sedemikian bukan sekadar suka-suka.

“Tapi saya mengajar mereka cara untuk bertahan dan terus hidup andai mereka tersesat atau kurang bekalan makanan, sekiranya mereka meneroka dan bercuti di kawasan hutan, tepi pantai atau tempat yang jauh dari orang ramai,” katanya.

Lokasi percutian menarik

Tidak pernah berputus asa dengan kritikan yang diterima, anak kelahiran Epsom, United Kingdom ini terus menghasilkan video menarik mengenai percutian di sesebuah negara.

Biasanya Louis memuat naik video di YouTube dan beberapa keping gambar di laman Facebook dan Instagram miliknya.

Apatah lagi, dengan kecanggihan teknologi masa kini, Louis dapat mengabadikan kenangan dengan kualiti foto yang lebih cantik.

Pendek kata, jika dilihat; sama ada menerusi video atau foto, ia akan menambah keterujaan anda untuk ke lokasi yang pernah dilawati oleh Louis.

“Hidup ini adalah sebuah perjalanan, anda perlu untuk meneroka supaya anda akan lebih mengenali budaya dan mengetahui tempat-tempat menarik di seluruh dunia.

“Malah tidak membazir jika anda keluarkan duit yang banyak untuk bercuti ke tempat menarik kerana ia amat berbaloi untuk dilakukan,” katanya.

Tidak hanya lokasi menarik, seperti biasa, Louis menyelitkan beberapa video dia memakan haiwan yang telah mati atau organ dalaman.

Namun ada ketikanya, dia turut memuat naik video kecederaan seperti di gigit penguin dan ular. Ada ketikanya, dia turut memuat naik video bermain bersama binatang.

Bukan itu sahaja, Louis juga tidak ketinggalan berkongsi video-video masakannya bersama beberapa selebriti chef terkenal dan ada kalanya bersama vlogger YouTube terkenal yang lain.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");