Isu Panas

Tiada layanan istimewa untuk Anwar di penjara

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diberi sebarang layanan istimewa di Penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menegaskan Jabatan Penjara melayan semua orang yang dipenjara secara saksama sebagaimana peruntukan undang-undang dan peraturan penjara.

“Di sini saya ingin mengesahkan perkara ini (tiada layanan istimewa),” katanya ketika diminta mengulas kegusaran sesetengah pihak bahawa Anwar diberikan layanan istimewa dan luar biasa oleh Jabatan Penjara selepas dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.

Zulkifli dalam pada itu juga menjelaskan bahawa layanan yang diberikan kepada Anwar adalah sama seperti banduan lain kecuali ditempatkan di dalam penjara berupa bilik, bukannya sel.

“Dari segi makan dan minum, jadual berjumpa keluarga adalah sama seperti banduan lain, cuma dia ditempatkan seorang di dalam bilik…ini adalah prosedur biasa yang dilaksanakan di penjara,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hanya tilam dan bantal untuk Anwar]

Beliau berkata, jadual lawatan keluarga juga ditetapkan berdasarkan warna pakaian yang dipakai, dan Anwar ketika ini menggunakan pakaian berwarna merah, iaitu bagi penghuni penjara yang menjalani hukuman bagi tempoh enam bulan ke atas dan hanya boleh dilawati sekali sebulan.

Zulkifli berkata, jumlah kekerapan lawatan akan berubah daripada sebulan sekali kepada tiga, dua dan seminggu sekali atau daripada warna merah kepada hijau dan biru berdasarkan tempoh keberadaan penghuni di dalam penjara sekurang-kurangnya selepas 12 bulan berada dalam tahanan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Anwar telah dibenarkan berjumpa anggota keluarganya sejurus dihantar ke Penjara Sungai Buloh pada Selasa.

Sementara itu, Noor Rashid berkata, pihaknya mendapat maklumat beberapa siri perhimpunan oleh penyokong yang bersimpati dengan Anwar akan diadakan pada hujung minggu ini di beberapa lokasi di ibu negara, antaranya di hadapan kompleks beli-belah Sogo dan Dataran Merdeka.

Beliau berkata, dalam memastikan ketenteraman awam terjaga, polis akan mengambil tindakan tegas jika perhimpunan atau perarakan itu melanggar undang-undang sedia ada. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");