Sukan Hari Ini

Transformasi PKBM

Tumpuan sorotan sukan minggu ini adalah krisis membabitkan barisan kejurulatihan Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) dengan Pengarah Teknikal, Lim Teong Kim.

Manakala kes pergaduhan dua atlet negara, Muhammad Irfan Shamsuddin dengan A Kavee akhirnya berakhir dengan perdamaian dan sukan badminton negara di pentas antarabangsa terus berada dalam kegelapan sejak ketiadaan Datuk Lee Chong Wei.

Paling mencuri perhatian adalah hasrat Datuk Abu Samah Wahab untuk berundur dan melepaskan jawatan presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang dipegangnya sejak 1990.

BOLA SEPAK

Krisis membabitkan barisan jurulatih PPBN dengan Teong Kim cukup mencuri perhatian. Disangkakan tenang, program yang menjadi keutamaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu rupanya bermasalah.

Cara bekerja bekas jurulatih remaja kelab gergasi Jerman, Bayern Munich itu tidak disenangi kerana terlalu tegas.

Pengarah Kanan Unit Sokongan Program PPBN, Safirul Azli Abu Bakar terpaksa menjelaskan keadaan sebenar berlaku sambil menafikan beberapa jurulatih meninggalkan program itu.

Katanya, jurulatih berkenaan sebenarnya meletak jawatan atas kehendak sendiri dan bukannya ada kaitan boikot.

Laporan Arena Metro mendedahkan seorang jurulatih PPBN berkata pendekatan digunakan Teong Kim terlalu menekan untuk mendapatkan laporan dan memberikan tugasan di luar kawasan pada saat akhir.

Itu menyebabkan mereka enggan menyambung kontrak.

LIGA SUPER

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akhirnya akur dengan tuntutan penyokong apabila bersetuju melakukan rombakan pengurusan.

Bagaimanapun, rombakan terbabit bukanlah tindakan drastik memecat mana-mana ahli majlis kecuali Timbalan Presiden Datuk Mokhtar Ahmad tidak dilantik memegang jawatan pengerusi dalam 16 jawatankuasa kecil.

Pengumuman rombakan itu dibuat Presiden FAS sendiri, Mohamed Azmin Ali.

Skuad bola sepak Selangor juga mendapat pengurus dan penolong pengurus baru untuk bergandingan dengan ketua jurulatih Merah Kuning, Mehmet Durakovic untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

OLAHRAGA

Kes pergaduhan membabitkan jaguh lempar cakera Muhammad Irfan dengan atlet lompat tinggi, Kavee selesai apabila mereka mengambil keputusan berdamai. Mereka turut bersetuju menarik semula laporan polis dibuat sebelum ini.

Perdamaian itu diumumkan dalam satu sidang media dihadiri Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Ahmad Shapawi Ismail.

Sementara itu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) juga akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam usaha mencari jalan penyelesaian berhubung kontroversi penganjuran larian Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM).

Inisiatif KOM itu mendapat pujian agar MIM dapat dianjurkan dan berjalan lancar seperti diharapkan oleh MOM.

BADMINTON

Jurulatih beregu negara, Pang Cheh Chang terpaksa menerima hakikat prestasi anak-anak buahnya merosot berdasarkan penyertaan di Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia dan GP Emas Terbuka India 2015.

Kemerosotan berpunca daripada jadual padat pertandingan dan masalah kecederaan melanda Goh V Shem dan Tan Boon Heong.

Cheh Chang mahu mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih beregu, Jeremy Gan agar diwujudkan suasana latihan lebih berkesan sebagai persiapan menghadapi kejohanan utama.

BASIKAL

Sukan basikal bakal mendapat presiden baru apabila presidennya Abu Samah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan. Tindakannya itu bakal menyaksikan perubahan ketara PBKM apabila tiga daripada lima naib presiden turut mahu berundur.

Timbalan Presiden Datuk Naim Mohamad disebut-sebut orang paling sesuai mengambil alih pengurusan persatuan itu.

PKBM juga diberi tempoh 60 hari oleh Pesuruhjaya Sukan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");