Membawang Hari Ini

Zero geletek 2,000 penonton

Kemunculan kumpulan Zero dan empat bintang Akademi Fantasia (AF) menggamatkan Konsert Era Sayang Sabah 2015 yang dihadiri lebih 2,000 penonton di Pusat Kebudayaan Penampang, Sabah, Sabtu lalu.

Mereka yang terdiri daripada juara AF 2014 iaitu Firman, juara AF 2013, Faizul serta Adira dan Adel berjaya menarik penonton sejak jam 6 petang.

Turut memeriahkan konsert ialah penyampai radio Era FM Sabah iaitu Ily, Biebey, Kim, Chris dan Lopz.

Persembahan dimulakan dengan persembahan trio penyanyi tempatan Sabah, Aegy, Aye dan Ryan yang membawa beberapa lagu dan diikuti persembahan Adel yang membawa dua lagu berjudul Hati dan The Best.

Dewan digamatkan lagi dengan persembahan Zero yang dibarisi trio adik-beradik dari Kudat yang juga finalis Maharaja Lawak Mega 2014 yang berlangsung Jumaat ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

Selain menghiburkan penonton dengan lawak dan celoteh mereka, Zero turut mengajak penonton ke pentas untuk membuat sedikit lawak seterusnya menyampaikan hadiah kepada mereka.

Konsert diteruskan dengan persembahan naib juara AF8, Adira yang mendendangkan tiga lagu iaitu Hilang, Ruhi Kasih dan To Love You More.

Persembahan diteruskan Faizul dengan lagu seperti Sepasang Sayap, Perempuan dan 333 Batu.

Sekali lagi, dewan terus digamatkan dengan persembahan kumpulan Zero yang sentiasa dinantikan penonton apabila mempersembahkan beberapa lawak yang unik termasuk menjadikan dialek Sabah sebagai ‘senjata’ utama persembahan mereka.

Ketua kumpulannya, Sharif Kadil mengakui rasa gembira dan teruja dengan sokongan penonton serta peminat yang terus menyokong karier mereka.

Katanya, mereka sentiasa menyajikan lawak yang unik termasuk menggunakan dialek Sabah yang digunakan sebagai pertuturan untuk menghiburkan penonton.

“Kami gembira dengan sokongan peminat di Sabah dan kami berjanji akan membuat sedaya upaya yang terbaik pada pentas akhir MLM 2014 Jumaat ini,”katanya.

Konsert pada malam itu ditutup dengan persembahan Firman yang membawa empat lagu iaitu Di Pintumu, Fantasia Bulan Madu, Kejoraku Bersatu dan Semalam Yang Hangat.

Pada persembahan itu, Firman lebih banyak menggunakan gitar sebagai instrumen muziknya dan nyata memukau serta mendapat tepukan penonton.

Sebelum itu, penganjur turut mengadakan pertandingan gambar selfie terbaik dengan menggunakan hashtag KESS2015 selain mengadakan sesi bergambar bersama peminat bertuah.

Sementara itu, Pengurus Operasi Era FM Sabah Syazley Zalsyam berkata, konsert kali ketiga itu adalah sebagai tanda penghargaan pihaknya kepada pendengar Era FM di Sabah yang sentiasa menyokong.

Pihaknya turut berpuas hati dengan sambutan hebat yang diberikan pada setiap penganjuran konsert berkenaan.

“Tahun ini, kami cuba di lokasi baru iaitu di Penampang dan nyata sambutan yang diberikan amat membanggakan.

“Kami juga sentiasa memberi kelainan dalam menghargai pendengar dan selepas ini akan ada lagi aktiviti lain,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");