Perak Hari Ini

1,143 Pelajar MRSM Raih Keputusan Cemerlang Dalam SPM 2014

TAIPING: Seramai 1,143 atau 14.37 peratus pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Mata Pelajaran (SPM) 2014.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah tersebut mewakili pelajar yang mencatatkan Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 32 pelajar telah memperoleh pencapaian cemerlang iaitu mendapat A+ dalam semua subjek.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.07 peratus berbanding keputusan pada tahun 2013,” katanya dalam sidang media semasa mengumumkan keputusan berkenaan di sini, hari ini.

PERAKTODAY1 (13)

Tambahnya, MRSM Taiping telah menjadi maktab terbaik di peringkat kebangsaan bagi keputusan SPM tahun lalu.

Ujarnya, maktab tersebut merupakan antara 10 MRSM yang telah mengekalkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan SPM.

“Dalam peperiksaan SPM yang berlangsung tahun lalu, MRSM sekali lagi mengekalkan prestasi cemerlang yang mana seramai 7,963 calon telah menduduki peperiksaan berkenaan.

“Jumlah tersebut mewakili calon dari 46 buah maktab di seluruh negara yang mencatatkan kelulusan 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata MRSM Taiping menduduki kedudukan paling teratas dalam pencapaian Gred Purata Maktab (GMP) bagi tahun 2014.

“Pencapaian keseluruhan GMP pada tahun ini adalah 2.1851 yang mana MRSM Taiping telah mencatatkan GMP 1.0681 dengan jumlah calon yang paling ramai menduduki peperiksaan SPM.

“Antara MRSM yang turut mencatatkan GMP terbaik adalah MRSM di Pengkalan Chepa memperolehi GMP 1.0733, MRSM Tun Ghafar Baba (1.1100); MRSM di Langkawi, (1.3606), MRSM Tun Dr Ismail (1.4706), MRSM di Kuantan (1.6200), MRSM Kepala Batas (1.8543), MRSM Pasir Salak (1.2979), MRSM Tun Mohammad Fuad Stephen (2.0394) dan MRSM Pendang (2.0835),” katanya lagi.

PERAKTODAY (12)

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan Gred Purata Subjek (GPS) pula, sebanyak tujuh daripada 20 mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan berkenaan telah menunjukkan peningkatan.

“Antara subjek yang menunjukkan peningkatan daripada segi GPS adalah subjek Pendidikan Islam, Biologi, Pendidikan Moral, Rekacipta, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah serta subjek Teknologi Maklumat (ICT),” jelasnya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, pihak MARA berasa bangga di atas kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh semua pelajar MRSM.

“Kejayaan yang dicapai menjadi ukuran kemantapan sistem pendidikan MRSM dan kejituan usaha berterusan semua pihak,” kata beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");