Jenayah

12 bot musnah dalam kebakaran

KOTA TINGGI – Seorang pemilik bengkel terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM600,000 apabila sebanyak 12 bot pelbagai jenis yang berada di tempat parkir berhampiran bengkelnya musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Kapal petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu mula disedari oleh salah seorang pekerjanya yang berada di bengkel apabila terbau asap sebelum mendapati bot-bot tersebut sedang terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata, berikutan tempat parkir bot tersebut yang dipenuhi lalang menyebabkan pihak bomba terpaksa mengambil masa untuk memadamkan kebakaran itu.

“Tambahan pula dengan keadaan cuaca panas serta kawasan tersebut berangin menyebabkan api merebak dengan pantas. Malah ketika salah seorang pekerja bengkel itu menyedari kebakaran terbabit, separuh daripada bot tersebut telah terbakar.

“Apabila kita sampai di lokasi kejadian hanya beberapa bot sahaja yang masih terbakar.

“Kita juga mengambil masa untuk memadamkan keseluruhan api berikutan terdapat banyak rumput kering dan kayu di kawasan parkir bot tersebut.

“Kita difahamkan ketika kejadian bengkel tersebut tutup dan hanya terdapat seorang pekerja yang berada di bengkel terbabit manakala pekerja yang lain menghadiri majlis kahwin di Kota Tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, seramai lima anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Mereka turut dibantu anggota bomba daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Pengelih iaitu dengan kekuatan
enam anggota bersama sebuah jentera.

Tambahnya, kebakaran tersebut juga telah memusnahkan keseluruhan bot yang terdapat di kawasan parkir itu di mana ada di antara bot tersebut merupakan bot lama dan ada juga bot rosak yang perlu dibaiki.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran tersebut juga tidak melibatkan bengkel terbabit. Siasatan lanjut juga sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian berlaku,” katanya lagi.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");