Membawang Hari Ini

Rahsia Amy kekal cantik, langsing

KUALA LUMPUR: Mencecah usia 44 tahun, penyanyi dan pelakon Amy Mastura masih tetap ayu dan langsing sehinggakan tidak nampak perubahan ketara kepada bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) itu.

Bagi Amy tiada rahsia kecantikan menjadi amalannya, cuma yang ada pegangan kuatnya kepada prinsip kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan.

Tidak hairanlah, Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi hari ini kekal dengan raut wajah yang tidak lokek dengan senyuman selain sikapnya yang mudah didekati hingga membuatkan ramai menyenangi penampilan artis kecil molek ini.

“Rahsia kecantikan? ..saya sebenarnya tidak mempunyai sebarang rahsia tapi rasanya lebih elok jika mengamalkan kesederhanaan. Bukan hendak poyo tetapi saya sendiri jika mahu buat apa-apa, semuanya akan dilakukan secara sederhana saja.

AMY kurang mengamalkan petua tradisional untuk kekal muda tetapi dia mengambil makanan yang sihat. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

“Orang selalu tanya saya bagaimana saya menjaga bentuk badan agar tidak gemuk. Sebenarnya jika mahu, boleh saja saya gemuk tetapi saya lebih selesa dengan bentuk tubuh begini kerana sesuai dengan ketinggian saya.

“Makan pun lebih elok secara bersederhana saja, contohnya kalau hendak makan nasi, tak perlu makan nasi setiap hari. Jika hendak bersenam pun, jangan keterlaluan sehingga memudaratkan badan,” kata Amy sambil meleret senyuman kepada BH Plus.

Kata Amy, dia kurang mengamalkan sebarang petua tradisional untuk kekal muda tetapi dia mengambil makanan yang sihat.

Tambahnya lagi, dia turut mengamalkan vitamin untuk kecergasan badannya.

AMY atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi kekal dengan raut wajah yang tidak lokek dengan senyuman selain sikapnya yang mudah didekati. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Menyentuh tentang senaman dan penjagaan badan, Amy menggunakan mesin bersenam memandangkan umurnya semakin meningkat.

Ditanya sama ada dirinya ada menyuntik serta ingin menggubah wajah demi kecantikan, Amy berkata, ia tidak pernah dilakukannya sebaliknya menerima perubahan wajah mengikut peredaran usia serta menghargai proses semula jadi itu.

“Bagi saya tiada apa yang perlu dirisaukan untuk berdepan dengan proses tua kerana setiap garis di wajah itu menyimpan kenangan tersendiri. Boleh dikatakan saya menghargai proses penuaan ini kerana kita tidak selamanya kekal muda.

“Namun saya tidak menghakimi mereka yang memilih untuk terus kekal muda tapi saya lebih selesa bersederhana begini. Biarlah saya menjalani kehidupan dengan cara positif.

Amy yang bakal tampil dengan single terbaru berjudul Menari Ler mengakui bahawa bidang nyanyian masih menduduki tangga pertama dalam hatinya.

MENCECAH usia 44 tahun, penyanyi dan pelakon Amy Mastura, masih tetap ayu dan langsing. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

“Menyanyi adalah minat saya, begitu juga berlakon. Jadi, mana mungkin saya mahu melupakan terus bidang itu. Bagi saya populariti artis itu berlandaskan pada rezeki dan kita tidak selamanya akan berada di atas,” katanya yang kini bahagia di samping suami, Alvin Tham Suffian serta dua puterinya, Adriana Tham, 14, dan Adalia, 10.

“Dulu saya menggunakan khidmat pembantu rumah namun kini semuanya diuruskan oleh saya sendiri. Lebih selesa melihat anak-anak membesar depan mata,” kata Amy mengakhiri perbualan.

Sementara itu, Amy bakal tampil bersama Sherry Alhadad dan AG Hot FM sebagai pengacara Anugerah Bintang Popular BH 2014 yang bakal bersiaran secara langsung pada 5 April ini di Arena Of Stars, Genting Highlands.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");